Selasa, 30 April 2013

Penerbangan bawa pengundi Sabah ke Selangor?

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi mendakwa terdapat penerbangan yang disediakan kepada rakyat Sabah ke Selangor bagi tujuan membuang undi pada 5 Mei ini.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh daripada seorang kakitangan sebuah syarikat penerbangan.

"Daripada sumber dalaman pihak penerbangan sendiri, memang wujud penerbangan yang disediakan khusus untuk mereka di Sabah untuk ke Selangor," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga calon Parlimen Titiwangsa turut berkata, pihak PAS masih menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan bagi mengelakkan mereka mengundi pada 5 Mei ini.

"Kita tak tahu apa status mereka sekarang ini. Tapi kalau benar mereka ini pengundi hantu yang digunakan untuk mengundi BN di Selangor, kita kesal dengan sikap berdiam diri Suruhanjaya Pilihan Raya dalam perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, risikan mereka mendapati Umno telah membawa masuk pengundi luar, khususnya dari Sabah menggunakan pengangkutan udara.

Bagaimanapun, Khalid yang juga menteri besar berkata, kumpulan itu tidak didaratkan di lokasi biasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT).

Sementara itu, Zamri juga menegaskan, Juham tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-udang sekiranya mendapati wujud warga asing yang turut mengundi pada hari tersebut.

"Kalau memang ternyata mereka warga asing yang diberikan kad pengenaan semata-mata untuk mengundi, kita ada kuasa menahan mereka daripada berbuat demikian," katanya.

Beliau juga menggesa SPR mengambil tindan segera dalam tempoh berbaki sebelum berlangsungnya hari pengundian.

"PAS harap SPR ambillah tindakan sewajarnya bagi memastikan demokrasi di negara ini benar-benar terlaksana," katanya.

Tiada ulasan: