Ahad, 28 April 2013

UMNO patut melakukan introspeksi diri sendiri


Dr Mahathir telah pergi ke Putrajaya untuk membantu calon BN Tengku Adnan dengan membidas Husam Musa dan PAS. Bekas Perdana Menteri ini tidak duduk senang dan beliau hari ini kabarnya akan ke Kelantan untuk membantu Ibrahim Ali, calon bebas di Pasir Mas di sana.

Dr Mahathir telah pergi ke Putrajaya membantu calon BN sehari selepas Putrajaya di datangi oleh puluhan ribu manusia untuk bersama Tok Guru Nik Aziz dalam lawatan Mursyidul Am PAS itu ke Putrajaya dua hari lepas. Berbeza dengan kehadiran Dr Mahathir, TGNA tidak bercakap banyak dengan liputan media massa perdana. Tetapi kehadiran beliau sahaja sudah cukup untuk menjadikan UMNO lebih-lebih lagi Dr Mahathir ‘makan tak kenyang , mandi pun tak basah’.

Mahathir membidas Husam Musa, calon PAS di Putrajaya dan menganggap Husam bukan lawannya untuk berdebat kerana beliau lebih tua dari Husam yang beliau anggap seperti kanak-kanak sahaja. Tetapi jika benar Husam itu masih budak jika dibandingkan dengan beliau, tidak ada sebab Dr Mahathir merasa takut dengan kehadiran Husam sebagai calon di Putrajaya itu. Mahathir tidak perlu membidas beliau (Husam) dan seterusnya datang ke Putrajaya untuk berkempen melawan Husam itu.

Mahathir perlu bertanya kenapa TGNA mendapat sambutan sebegitu rupa sedangkan pemimpin UMNO yang telah memerintah yang sepatutnya lebih mampu mempengaruhi orang ramai tidak mendapat sambutan seperti TGNA itu? Adakah UMNO menganggap orang ramai itu bodoh dan tidak siuman dengan menyambut TGNA dengan begitu meriah sekali?

Keadaan sebegini mesti bersebab dan sebabnya itulah yang pimpinan BN tidak dapat kefahaman kenapa TGNA telah menjadi ikutan ramai. Sikap orang ramai membelakangkan pihak yang memerintah itu bukannya berlaku tanpa sebab. Ingat, kedatangan pimpinan PAS itu disambut oleh orang ramai tanpa diangkut oleh bas-bas yang diuruskan oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan seperti yang dilakukan oleh UMNO dan BN itu.

PAS tidak perlu membawa palajar-palajar UiTM dengan membayar seratus ringgit seorang seperti yang dilakukan oleh UMNO untuk menampakkan kemeriahan lawatan pimpinan BN dalam lawatan-lawatannya ke mana-mana. Kehadiran TGNA di Putrajaya jumaat lepas tidak disediakan dengan nasi bungkus atau karipap-karipap tebal. Mereka datang dengan sukarela dan berbelanja sendiri.

Kalau begitulah keadaannya, UMNO dan pemimpin-pemimpin mereka sepatutnya menumpukan tenaga mereka untuk bertanya kepada diri sendiri, kenapa BN dan UMNO tidak mendapat sambutan secara sukarela seperti yang di alami oleh PAS? Sebabnya mesti ada kepada UMNO dan pimpinan mereka sendiri.

Jawapannya sememangnya ada kepada UMNO sendiri, tetapi hanya UMNO tidak mahu atau tidak tahu yang kelemahan mereka dimata rakyat ramai itu terlalu jelas tanpa disedari oleh pimpinan UMNO itu sendiri. Mereka (UMNO) hanya menumpukan masa untuk membidas pimpinan seperti TGNA terus menerus tetapi bidasan mereka itu tidak juga mampu juga melemahkan sokongan terhadap kepimpinan seperti TGNA ini.

UMNO khususnya Dr Mahathir, tidak usah bersusah payah membidas orang itu dan orang ini untuk mendapatkan sambutan ramai. UMNO sudah terlalu kesempitan masa untuk membetulkan keadaan serta kelemahan mereka. Lagi pun sampai ke saat ini pun UMNO belum lagi mendapatkan sebab kenapa pimpinan PAS seperti TGNA kian hari kian kuat.

Dr Mahathir yang telah mengaku berjasa kepada negara masih terkial-kial untuk mendapat perhatian rakyat. Sesungguhnya Dr Mahathir dan pimpinan UMNO yang lain melakukan introspeksi terhadap mereka sendiri.

Kaji lah kenapa lawatan Mahathir tidak mendapat sambutan sedang kedatangan TGNA ke Putrajaya disambut oleh puluhan ribu manusia berbilang kaum itu tanpa di punggah dengan ratusan bas-bas atau nasi bungkus dan karipap-karipap tebal itu.

Tiada ulasan: