Isnin, 29 April 2013

Sokongan Orang Asal Gua Musang kepada PR meningkat

Muhammad Faizal,



GUA MUSANG: Sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gua Musang berada dalam keadaan seimbang.

Perkara itu dijelaskan oleh calon PAS yang bertanding di parlimen itu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melalui tinjauan yang dibuat sejak tempoh berkempen berlangsung.

Gua Musang yang sebelum ini merupakan kubu kuat Umno dan sentiasa memberi kemenangan kepada calon BN selama 44 tahun, mula berlaku perubahan apabila rakyat terutama orang Melayu mula menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Kita sedia maklum Gua Musang merupakan kubu kuat Umno, namun sejak pemantauan yang dilakukan iaitu sebelum penamaan dan tempoh masa berkempen telah berlaku perubahan.

"Kita melihat sokongan antara kedua-dua parti berada dalam keadaan seimbang, rakyat di sini terutamanya Melayu mula menerima Pakatan Rakyat," jelas beliau.

Jelasnya, beberapa pendekatan diambil seperti menemui pengundi Melayu secara peribadi bagi memastikan sokongan terus meningkat sehingga hari pengundian nanti.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim juga tidak menolak faktor yang menentukan kemenangan BN sebelum ini adalah daripada pengundi Orang Asal.

"Kita akan menguatkan lagi gerak kerja untuk mendekati pengundi Melayu ada sokongan terus meningkat.

"Namun terdapat pendekatan khusus perlu diberikan kepada Orang Asal, yang mana mereka merupakan pengundi penentu kepada kemenangan BN sebelum ini," sambung beliau.

Tambah beliau, dalam masa BN mengharapkan undi Orang Asal namun sokongan terhadap Pakatan Rakyat dan PAS daripada mereka terus meningkat hari demi hari.

Beliau yakin dengan perancangan mendekati mereka dari akar umbi akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

Wan Abdul Rahim ketika ditemui pada program di perkampungan Orang Asal Kuala Betis sempat bermain bola bersama pasukan Lagenda Bolasepak Kelantan menentang pasukan belia Orang Asal.

Dalam masa yang sama, beliau menjangkakan satu perubahan besar sokongan akan berlaku di Gua Musang sebelum hari pengundian nanti.

Tiada ulasan: