KUALA LUMPUR - Kira-kira 70 peratus pengundi pos luar negara keluar
mengundi di 100 pejabat perwakilan Malaysia, Ahad lepas, kata Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata pengundi luar negara yang berdaftar berjumlah 8,756
orang, dan daripada jumlah itu, 6,092 hadir pada masa penyerahan dan
penerimaan balik sampul undi pada hari berkenaan.
Abdul Aziz berkata pengundi tidak hadir (PTH) ialah seramai 2,633 orang
dan mereka bertanggungjawab menghantar sendiri kertas undi secara pos
ke pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya masing-masing di Malaysia
sebelum 5 petang, 5 Mei ini.
"Saya sangat gembira dengan respon dari rakyat Malaysia di luar
negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian
awal di Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata dengan lebih 2,000 pengundi, Australia mencatat
jumlah pengundi Malaysia di luar negara paling ramai mengundi bagi
pilihan raya umum ke-13 ini.
Beliau berkata beg diplomatik yang mengandungi kertas undi pos yang
diterima pihaknya itu akan dihantar terus ke pejabat SPR negeri sebelum
disalurkan ke pejabat RO di seluruh negara.
"Sebanyak 100 pejabat perwakilan Malaysia telah menghantar laporan
berhubung proses pilihan raya di sana manakala tiga pejabat perwakilan
lagi dilaporkan tiada pengundi yang hadir," jelasnya.
Beliau berkata kertas undi pos dan undi awal itu akan dibuka dan dikira
pada hari yang sama dengan kertas undi biasa iaitu pada 5 Mei. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan