PELABUHAN KLANG, : Gusar akibat hilang sokongan, Umno-BN menggunakan taktik mengacau program anjuran Pakatan Rakyat(PR).
Terbaru, malam tadi di Kampung Hamid Tuah di Telok Gong di sini, petugas di bilik gerakan BN kampung tersebut dengan sengaja menyiarkan lagu-lagu dan ucapan Presiden Umno dengan kuat melalui pembesar suara.
Tindakan itu jelas sengaja dilakukan bagi mengganggu program ceramah PR yang diadakan di kawasan lapang berhampiran.
Bagaimanapun calon PKR DUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyampaikan ceramahnya berharap orang ramai dapat bersabar dengan gelagat penyokong-penyokong Umno-BN itu.
“Kita tahu apa yang mereka lakukan ini bertujuan menghalang rakyat mendapat pelbagai maklumat berhubung perkara sebenar dalam pelbagai isu.
“Saya harap tuan-tuan bersabar, ini adalah sebahagian dari rintangan perjuangan kita,” kata Abdul Khalid.
Menurut penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wasrin, tindakan seperti itu tidak pernah dilakukan pada malam-malam sebelum ini ketika tiada program PR dijalankan di situ.
Beberapa remaja belasan tahun yang berada di bilik gerakan Umno-BN itu juga beberapa kali menjerit sesuatu yang tidak berapa jelas kedengaran kepada kira-kira lebih 300 hadirin di ceramah PR itu.
Bagaimanapun tindakan ahli Umno-BN itu hanya diketawakan orang ramai berada di tapak ceramah tersebut kerana melihat telatah penyokong Umno-BN yang dianggap seperti kebudak-budakan dan tidak matang berpolitik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan