Ahad, 28 April 2013

Saya sedia bela Che Johan - Dr Mahathir

SINAR HARIAN

Mahathir bin Mohamad
Tun Dr Mahathir bin Mohamad
 
PASIR MAS - Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya membela Che Johan Che Pa jika beliau dibicarakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana tidak menyerahkan borangnya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Mas pada hari penamaan calon, 20 April lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sedia berbuat demikian kerana mengagumi pengorbanan dan perjuangan Che Johan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Bebas dan Pas, yang boleh menyebabkan kerusi itu jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya lawyer yang tidak ada kelulusan tapi kalau nak argue boleh juga. Saya berpendapat bahawa bukan sahaja dia (Che Johan) tidak salah, bahkan saya hendak tengok lebih ramai orang lagi berkorban demi kebaikan parti bukan untuk diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di perkarangan rumah Che Johan di sini hari ini.

Pilihan raya umum Ahad ini akan menyaksikan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket Bebas, dicabar Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, dalam ucapannya di hadapan kira-kira 500 penduduk, Dr Mahathir berkata ramai yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon dan terus melupakan jasa parti serta membuat tindakan tidak bertanggungjawab. 

Sebaliknya, Che Johan masih meneruskan usaha untuk memastikan kerusi parlimen Pasir Mas tidak terlepas ke tangan Pas, katanya.

"Apa yang kita tengok sekarang ini, banyak yang berkorban demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat satu, mereka korbankan semuanya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Ibrahim serta calon-calon BN bagi Dun Tendong Datuk Hanapi Mamat, Dun Pengkalan Pasir Tuan Anuwa Tuan Mat dan Dun Chetok Aimi Jusoh. - Bernama

Tiada ulasan: