Oleh: Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk
Johari Abdul menyelar Menteri Pertahanan sementara, Datuk Seri Zahid
Hamidi yang mengaitkan pembangkang sebagai dalang insiden serangan di
Lahad Datu, Sabah.
Sedangkan katanya, kerajaan sendiri berrunding dengan pengganas berkenaan, sebelum serangan itu bermula pada 1 Mac lalu.
Malah katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein
menyatakan kumpulan bersenjata itu bukan pengganas selepas dua minggu
mereka memasuki perairan negara ini.
“Menteri dari Umno BN sendiri yang berunding dengan pengganas Sulu.
Semua orang masih ingat.
Asalnya Hishamuddin Hussein kata, (kumpulan
bersenjata) yang masuk (ke Lahad Datu) itu bukan penceroboh,” kata
Johari yang juga penyandang dan calon Parlimen Sungai Petani.
Beliau mengulas kenyataan Zahid dalam portal Sinar Harian hari ini
yang mendakwa tiga pemimpin Pakatan Rakyat, dua daripadanya dari
semenanjung manakala seorang lagi dari Sabah sebagai dalang serangan
itu.
Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemimpin terbabit,
sebaliknya memberi alasan akan berbuat demikian selepas pilihan raya
umum nanti.
Menurut Johari, kenyataan Zahid yang mengaitkan pembangkang dengan
insiden itu dilihat tidak lebih sekadar mahu membodek ketuanya, Datuk
Seri Najib Razak.
“Saya kenal lama Datuk Zahid ini. Dia memang suka buat kenyataan
kontroversi. Bukan sahaja tidak membantu partinya iaitu BN, malah tak
mencerminkan kewibawaannya sebagai Menteri kanan kerajaan,” kata Johari
menambah kenyataan itu hanya akan menguatkan sokongan terhadap Pakatan
Rakyat.
Insiden serangan lahad Datu bermula apabila kumpulan yang mendakwa
kumpulan kesultanan Sulu dari Selatan Filipina itu memasuki perairan
negara pada 9 Februari menggunakan bot pancung. Mereka berkumpul secara
berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Kerajaan mengambil masa yang terlalu lama berunding dengan pengganas
berkenaan, menyebabkan kumpulan itu memulakan serangan pada 1 Mac dan
membunuh dua anggota polis.
Tragedi itu berlarutan lebih sebulan dan mengorbankan 12 anggota
keselamatan negara. Sebelum ini, Pakatan mempersoal kelewatan kerajaan
mengarahkan pasukan tentera untuk mengawal situasi sejak daripada awal
pencerobohan itu berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan