Oleh Norutul Ilham
PEKAN : Calon KEADILAN Pekan, Fariz Musa akan membuat
pemantauan di semua lokasi pengundian awal dalam Parlimen itu esok bagi
memastikan pengundi tentera dapat menjalankan tanggungjawab mereka tanpa
rasa bimbang undi mereka diketahui pihak lain.
Ini berikutan maklumat yang diperolehinya bahawa tentera yang akan
membuang undi esok dikehendaki mengisi borang identiti dan memasukkan ke
dalam sampul bersama kertas undi ke dalam peti undi.
“Saya akan membuat pemantauan esok di semua lokasi pengundian awal di
kawasan Parlimen Pekan bagi memastikan amalan demokrasi dilaksanakan
secara adil dan profesional serta tidak melanggari hak asasi manusia.
“Saya telah mendapat informasi bahawa satu taklimat telah diadakan kepada anggota-anggota tentera pada jam 9 pagi tadi.
“Semua anggota tentera yang akan melaksanakan pengundian awal pada
esok dikehendaki mengisi borang identiti dan memasukkan ke dalam sampul
bersama kertas undi ke dalam peti undi,” katanya pada kenyataan hari
ini.
Ekoran itu, beliau mendapatkan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) yang mendakwa mereka tidak terlibat dalam perkara tersebut.
“Pihak saya telah menghubungi Pengarah SPR Negeri Pahang untuk
mendapatkan kesahihan dan kepastian daripada pihak SPR adakah ianya
adalah implimentasi oleh badan itu.
“SPR juga telah mengesahkan bahawa ia bukan arahan pihaknya dan
menyatakan ia dilaksana oleh pihak pengurusan tertinggi kem,” kata Fariz
yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat.
Justeru, beliau membantah dan mendesak supaya menghentikan tindakan
tidak rasional itu yang disifatnya tidak menghormati sistem demokrasi
negara.
“Saya membantah tindakan terhadap arahan tersebut yang akan
dilaksanakan esok pagi, bertujuan menakut-nakutkan anggota tentera yang
mahu melaksanakan amalan demokrasi dan kebebasan sebagai warganegara
Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan