Isnin, 29 April 2013

Najib tolak hasil kajian Umcedel sebab memihak kepada Pakatan

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Penolakan Datuk Seri Najib Razak terhadap kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri disebabkan kajian itu tidak memihak kepadanya.

Saifuddin

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Najib tidak patut menolak dan memandang rendah kajian itu, sebaliknya menghormati Umcedel kerana hasil kajian badan akademi itu pada Jun 2012 juga pernah berpihak kepada BN dan beliau sendiri memuji Umcedel.

Katanya, hasil kajian terbaru Umcedel itu menunjukkan bahawa usaha berterusan KEADILAN untuk melakukan perubahan yang bermakna kepada rakyat kini hampir menjadi kenyataan.

“Ini satu kepercayaan rakyat yang mesti dipegang teguh oleh Pakatan dan kita akan terus berkempen dengan bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian nanti,” kata calon Parlimen Bandar Baharu Kulim itu pada kenyataan.

Saifuddin berkata, tuduhan kononnya Pakatan tidak mempunyai sokongan orang Melayu dinafikan oleh kajian Umcedel itu yang menunjukkan 54 peratus dalam kalangan responden Melayu yakin dengan kewibawaan Anwar.

Lebih membanggakan, katanya, 43 peratus responden membabitkan semua bangsa percaya dengan kemampuan Anwar menjadi Perdana Menteri, berbanding Najib yang hanya mendapat 39 peratus, dan ini amat membanggakan seluruh penyokong Pakatan.

“Saya percaya kajian ini yang membuktikan Pakatan Rakyat berjaya meraih sokongan daripada semua sektor dan komuniti. Ia adalah relevan kerana dilakukan secara profesional dengan menggunakan kaedah terbaik,” kata Saifuddin.

Tiada ulasan: