Selasa, 30 April 2013

Pas: Calon Lenggeng Zulkefly kekal tanding

SYAMILAH ZULKIFLI

Mohamad Taufek
Mohamad Taufek (dua, kanan) pada sidang media diadakan semalam.
 
SEREMBAN – Pas negeri mengesahkan calon Pas bagi Dun Lenggeng, Zulkefly Mohammad Omar akan kekal bertanding.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pihaknya berharap semua pihak dapat menghentikan spekulasi yang menyatakan Zulkefly menarik diri kerana faktor kesihatannya.

“Keadaan beliau kini dilaporkan stabil dan tidak membimbangkan. Cuma atas nasihat doktor dia perlu berehat di hospital antara empat hingga lima hari bagi memastikan kesihatannya betul-betul pulih.

“Tapi atas faktor keselamatan dan kesihatannya, hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan melawat beliau,” katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan pengetahuan pihaknya, Zulkefly tidak mempunyai masalah kesihatan serius sebelum ini, namun berkemungkinan kesihatannya terganggu disebabkan terlalu letih sepanjang tempoh berkempen.

Sehubungan itu katanya, beliau menasihatkan kepada semua calon Pas agar dapat menjaga kesihatan sebaik mungkin walaupun masing-masing sibuk berkempen.

“Memang salah satu syarat dikemukakan Pas pusat semua calon perlu sihat. Biasanya sebelum pilihan raya sihat, tapi mungkin tekanan dan kesibukan berkempen keadaan kesihatan itu terganggu.

“Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan beliau. Jika keadaan memerlukan mungkin Zulkefly sendiri akan membuat sidang media dalam waktu terdekat,” katanya.

Selain itu katanya, sementara menunggu beliau pulih, Pas negeri bersama wakil calon dan jentera pilihan raya Dun Lenggeng akan mengambil alih segala aktiviti berkempen di kawasan berkenaan.

Mohamad Taufek berkata, keadaan itu tidak menjejaskan segala gerak kerja Pas dan pihaknya percaya kerusi Lenggeng akan berjaya dirampas oleh Pas menerusi Zulkefly pada pilihan raya kali ini.

Dalam pada itu wakil calon, Mohd Prasad Hanif berkata, waktu berkempen adalah proses pengenalan calon kepada umum, namun Zulkefly sudah melakukannya sejak 14 tahun lalu.

“Kami rasa tiada masalah dari segi pengenalan calon kerana beliau sudah dikenali, yang tinggal sekarang adalah tugas dan kerja berkempen,” katanya.

Hadir sama Pengarah Majlis Tindakan Dun Lenggeng, Mohd Daud Muad Rashid dan Setiausaha Pas negeri, Mohd Hasan Tamby.

Sabtu lalu,  Zulkefly Mohammad Omar dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur selepas mendapat  serangan angin ahmar dan tekanan darah tinggi di rumahnya di Kampung Masjid, Lenggeng.

Bagaimanapun keadaannya kini dilaporkan stabil, namun atas nasihat doktor dia diminta berehat di hospital dalam tempoh beberapa hari.

Tiada ulasan: