Menggunakan pendekatan yang lebih mesra dengan rakyat, mendengar keluh kesah mereka yang bergelar penjawat awam, calon Pas, Datuk Paduka Husam Musa komited untuk menyantuni masyarakat Putrajaya jika diberi peluang sebagai wakil rakyat di kawasan terbabit.
Ikuti wawancara wartawan SINAR HARIAN ONLINE.
SINAR HARIAN ONLINE: Memandangkan pada PRU13 ini Datuk akan bertanding di Putrajaya jadi apakah kriteria yang perlu ada untuk dipilih sebagai calon menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini?
HUSAM: Yang pertama setiap wakil rakyat mesti mampu memperjuangkan kepentingan rakyat di sesuatu tempat dan juga di seluruh negara.
Kemudian yang kedua saya kira sebagai wakil Pas seorang wakil rakyat mestilah mempunyai keperibadian Islam dalam hidup mereka dan boleh memberikan sedikit sebanyak tazkirah, menjadi imam solat, boleh menghayati ajaran Islam.
Dalam bidang kepimpinan dan pemerintahan perlukan semua itu, jadi saya kira rakyat di mana-mana tempat bukan sahaja Putrajaya memerlukan pemimpin yang boleh memperjuangkan aspirasi mereka di samping mempunyai keperibadian Islam yang boleh membantu meninggikan daya kepimpinan mereka.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah cabaran Datuk pada kali ini, yang akan bertanding di dua kawasan berbeza Salor di Kelantan dan Putrajaya?
HUSAM: Ini bukan masalah cabaran kerana dua kawasan berbeza, cabarannya sistem demokrasi negara kita ini tidak benar-benar bebas dan telus.
Sehingga hari ini kami belum dapat kebenaran untuk mengadakan ceramah dalam kawasan Parlimen Putrajaya padahal kita ini mengamalkan sistem demokrasi dan Putrajaya ini adalah ibu kota pusat demokrasi dalam negara (temu bual diadakan sehari sebelum penamaan calon).
Kenapa ada batas-batas? Jadi ini menjadi halangan, dan halangan kedua adalah tiada akses media jadi saya nak berkomunikasi dengan semua penduduk saya tidak ada instrumen, saluran sepatutnya pada masa pilihan raya semua pihak diberikan masa siaran, satu-satunya TV yang datang temu bual saya Sinar TV, TV lain tak pernah minta untuk temu bual saya.
Semasa saya melawat, berjumpa dengan orang ramai, tv-tv lain tidak ada buat liputan sedangkan sebelah sana, kalau Umno, kalau dia terbatuk pun TV siarkan jadi tak seimbanglah. Ini halangan besar di seluruh negara bukan sahaja di Putrajaya.
SINAR HARIAN ONLINE: Selain daripada halangan tidak mendapat akses media apa lagi cabaran kepada Datuk untuk mendapatkan Putrajaya?
HUSAM: Cabaran lain di sini umumnya perasaan takut warga Putrajaya. Sekarang sudah hilang ketakutan, pada mula dulu saya ingat mereka takut tapi sekarang oleh sebab mereka yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) ini mampu ditumbangkan kerana dosa-dosa yang tidak dapat lagi dimaafkan oleh rakayat jelata dan tidak ada perubahan ketara dalam segi sikap pemimpin-pemimpin utama.
Bahkan tokoh-tokoh lama yang bermasalah dari segi politik wang juga terpilih sebagai calon dan kebangkitan berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah jadi kakitangan dan guru-guru di sini nampak yakin bahawa selepas 6 Mei 2013 ada sebuah kerajaan baru.
Jadi dulu orang cakap mereka takut tetapi kali ini nampaknya sudah tidak takut.
Saya harap tidak ada ugutan-ugutan dibuat. Ada beberapa blog yang terbabit dengan parti lawan saya, menyiarkan nama-nama dan juga gambar-gambar ugutan terhadap sesetengah kakitangan yang telah memberikan komen yang bebas dalam blog-blog, Facebook dan lain-lain.
Saya kira ini bersalahan dengan ‘spirit’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga oleh Tun Mahathir Mohamad bila kita buka dunia siber kita nakkan kebebasan minda semua warga negara Malaysia.
Dengan kebebasan itu mereka akan menjadi lebih maju dan berpolitik kerana minda mereka tidak dikongkong. Kalau ugutan-ugutan dibuat, ini bersalahan dengan semua polisi-polisi negara kita.
Jadi adalah ujian besar Putrajaya ini BN terikat dan mematuhi promosi yang mereka sendiri lakukan seperti dunia maya yang tidak ada batasan sekatan asalkan ia adalah berakhlak, bermoral dan tidak melanggar undang-undang utama negara dan juga.... di mana saya dilarang berkempen sama ada ceramah ataupun aktiviti lain melawat apartmen-apartmen di sini, kawasan presint-presint di sini kalau tidak dunia akan katakan kita mundur ke belakang.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah setakat ini insiden seperti itu berlaku di Putrajaya?
HUSAM: Setakat ini tiada apa-apa insiden kerana saya bergerak dengan cara yang sangat ‘low profile’ tapi selepas penamaan calon kita akan memohon permit untuk ceramah, mempamerkan skrin LED kita di pasar-pasar, masjid dan lain-lain dan juga aktiviti menyebarkan maklumat dan kempen rumah ke rumah. Saya berharap masa itu tidak ada sebarang gangguan.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah isu yang akan Datuk bawa untuk meraih sokongan pengundi di sini?
HUSAM: Isu adalah isu mereka, saya tak boleh reka isu apa yang telah mereka suarakan pada saya, saya dah sebut dah sebelum ini, hari-hari pertama saya di sini adalah untuk berinteraksi, mendengar, menghayati kehidupan mereka jadi selepas itu banyaklah disampaikan pelbagai rungutan.
Masalah utama sekali adalah perumahan mahal, tidak mencukupi, dan sempit bagi kaki tangan awam rendah. Kemudian masalah premis perniagaan, yang sewanya adalah melalui orang ketiga yang terlalu mahal dan tidak diberi peluang untuk disewa beli kepada peniaga menyebabkan kos juga naik.
Isu ketiga adalah kos hidup naik, termasuk bayaran bil elektrik dan air termasuk cukai bandar adalah yang tertinggi di Putrajaya. Isu lain adalah mengenai tempat 'parking' yang tidak cukup baik di apartmen mahupun di pejabat dan sesetengah tempat 'parking' berbayar. Apabila kakitangan bawah datang mereka tidak ada tempat 'parking', kalau mereka salah 'parking' tayar kereta mereka dikunci. Jika berbayar pula tidak berbaloi dengan pendapatan mereka.
Kemudian sekolah agama tidak mencukupi kerana di sini penduduknya majoriti orang Islam dan mereka mencadangkan mewujudkan maahad tahfiz sains dan ada satu cadangan lain mereka berharap kita boleh menubuhkan madrasah atau pun institusi al-Quran peringkat dunia sesuai dengan tahap dan taraf Putrajaya dan menjadikan al-Quran sebagai orientasi pusat tersebut.
Selain daripada itu isu lif rosak, isu klinik kesihatan yang tertangguh lama, isu kafetaria terbakar yang sudah hampir lapan bulan terbakar, selepas saya lawat barulah Tengku Adnan melawat. Itu maknanya baguslah sama-sama melawat dan itu isu lokal.
Dalam pada itu, isu blok pangsapuri Putra Damai bagi kumpulan kakitangan rendah sewanya adalah dari segi nisbahnya berbanding tempat lain adalah tinggi jadi saya cadangkan bagi kuarters ini Putra Damai dikurangkan sewanya dan rumah ini terlalu sempit 650 kaki persegi dan sepatutnya 1,000 kaki persegi.
Manakala isu pentadbiran, termasuk kongkongan terhadap pegawai-pegawai. Dalam satu insiden seorang penduduk di sini, bila jumpa saya di medan selera Presint 8, dia datang sambil menangis kerana dia rasa tertekan sedemikian lama.
Dia terharu bila saya datang bertanding di sini dan dia harap kali ini Putrajaya akan merdeka sama dengan Malaysia sekarang, dia kata Putrajaya tidak merdeka duduk dalam kongkongan.
Pegawai-pegawai rasa dikongkong, dihimpit, dikawal dan isu pegawai awam adalah antara lainnya peratus caj pinjaman kerajaan dan perumahan.
Mereka cadangkan ini dihapuskan dan mereka juga mahukan supaya tidak ada campur tangan politik dalam jabatan pentadbiran penjawat awam.
Penjawat awam boleh buat keputusan berdasarkan rasional sesuatu perkara bagi mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dan pembaziran peruntukan. Mereka percaya kalau tidak ada campur tangan politik keputusan-keputusan akan jadi lebih jitu seperti NFC mereka berpendapat kalau ada campur tangan politik RM250 juta itu dapat diselamatkan, itu satu contoh.
Kemudian isu nasional adalah seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak, adalah disambut baik dan saya lupa tadi isu kakitangan juga adalah pusat asuhan jagaan anak-anak tidak mencukupi, orang kena beratur untuk hantar anak sejak dari dalam kandungan lagi sudah kena daftar kalau tidak dia tidak dapat hantar anak dia ke pusat jagaan tersebut. Jadi ada isu kecil, lokal dan nasional yang wujud di Putrajaya.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejak bila Datuk kenal pasti isu-isu tersebut?
HUSAM: Saya datang ke sini menemu bual mereka dan kemudian membuka Facebook dan talian aduan, sebahagian staf saya berinteraksi dengan mereka dalam perjumpaan-perjumpaan dan dari situlah kami mengutip masalah-masalah ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah pembaharuan yang Datuk bawa berbanding pemimpin BN di Putrajaya?
HUSAM: Yang pertama mereka semua tahu ‘track record’ saya dalam Parlimen dahulu saya boleh menyuarakan. Jadi saya sudah tulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Perdana Menteri, rakyat jelata.
Saya telah tulis surat menyuarakan bagi pihak rakyat Insya-ALLAH kalau saya jadi ahli Parlimen, saya boleh bertemu dengan Perbadanan Putrajaya, Putrajaya Holdings dan pihak-pihak berkuasa lain, menteri dan lain-lain untuk membawa isu ini kepada mereka.
SINAR HARIAN ONLINE: Jika boleh Datuk kongsikan, apakah yang pengundi perlu tahu tentang Datuk dan perlu menyokong Datuk?
HUSAM: Negara kita perlukan perubahan, arah yang dibawa oleh kerajaan sekarang ini adalah menuju kepada kehancuran. Saya ambil contoh dari segi hutang negara. Hutang negara semasa Datuk Seri Najib meningkat mendadak daripada RM350 bilion sekarang kepada RM500 bilion lebih iaitu naik RM229 bilion. Naik dalam masa tidak sampai lima tahun. Ini tertinggi berbanding bekas-bekas perdana menteri sebelum ini .
Jadi sehingga hari ini, tidak nampak gaya hutang negara ini akan berhenti bahkan terus meningkat dan setengah hutang ini tidak dikira tetapi sebagai tanggungan negara seperti bon yang dikeluarkan 1 Malaysia Development Berhad dalam masa dua tahun sahaja 1MDB ini telah keluar bon berpuluh ribu juta, RM20 bilion bon.
Maknanya kalau tidak disekat ia akan ‘membelon’ terus sampai pecah. Jadi negara kita akan jadi bermasalah. Jadi ini menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada tidak lagi mampu menguruskan negara kita dan isu-isu pecah belah, perkauman, seks lucah, caci maki tidak dapat dihalang bahkan berkembang dengan begitu ketara.
Nampaknya kerajaan hanya berdiam diri, jadi tidak mungkin masyarakat kita sepanjang masa berada dalam ketegangan. Sebuah kerajaan yang berteraskan akhlak dan moral keadilan serta kesaksamaan perlu diwujudkan. Sebuah kerajaan bersih dan telus serta akauntibiliti adalah asas berkerajaan yang ditekankan oleh Islam.
Amanah ALLAH sendiri sebagai makhluk, di mana pengundi yang berikan undi itu pun satu amanah. Jadi amanah ini ALLAH gunakan titah untuk dilaksanakan menghakimi manusia dengan keadilan.
Bila suatu kuasa telah disalahgunakan wajib kepada kita untuk betulkan semula kuasa tersebut. Jadi pada hari ini calon-calon ada yang dikitar semula yang pernah kena politik wang, terkenal terlibat dalam rasuah masih dipilih. Kabinet dengan sendirinya nanti tidak bersih, Kabinet lama yang mengulangi cerita-cerita politik wang.
Maknanya peluang bagi BN adalah terhalang dan PR menampakkan perpaduan dan kesungguhan dan ‘track record’ di negeri-negeri yang ditadbir dengan berkebajikan. Dengan berkebajikan ini kita yakin kita lebih sensitif dengan rakyat jelata apa yang menjadi masalah mereka akan menjadi keutamaan dalam dasar-dasar kita.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah jaminan Datuk boleh berikan kepada rakyat terutamanya warga Putrajaya sekiranya berjaya menawan Parlimen ini bahawa keadaan politik seumpama ini tidak akan wujud lagi?
HUSAM: Kita dalam Islam nombor satu adalah keperibadian mesti bertakwa, tetapi kalau keperibadian bertakwa sistem dan mekanismenya tidak baik, lama-lama orang itu boleh jadi tidak baik.
Umpamanya pemimpin-pemimpin kerajaan mesti mengisytiharkan harta mereka dan pengisytiharan ini bukan untuk simpanan perdana menteri dalam biliknya. Kalau disimpan dalam laci perdana menteri dia tahu orang ni bertambah kekayaan tetapi kroninya ditambah lagi kekayaan melalui projek.
Mekanisme lebih bertanggungjawab boleh diaudit oleh Ketua Audit Negara, boleh diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain. Dan dengan cara itu pemimpin kurang peluang untuk melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa, serta mengaut kekayaan sesama mereka.
Sistem tender terbuka boleh mengelakkan kronisme dan menghapuskan orang tengah yang dipanggil monopoli seperti Perbadanan Putrajaya. Perbadanan ini bagi orang tengah untuk kawal premis perniagaan untuk ambil untung, kalau kita buang fungsi orang tengah ini, keuntungan itu boleh dijimatkan. Kita juga boleh mengurangkan kos sewa sama dengan Bernas yang berfungsi sebagai orang tengah dalam industri beras negara 2012.
Kenapa teksi tidak boleh diberikan secara milikan terus? Hanya dekat pilihan raya diuar-uarkan nak bagi tapi amalan kronisme beri kepada orang tertentu masih berjalan.
Sistem itu tidak ada sistem itu, tak ada terbuka, tak ada telus, amalan kronisme di mana orang tengah ambil peluang mengambil keuntungan masih lagi berlaku.
SINAR HARIAN ONLINE: Ada dakwaan yang mengatakan ramai kakitangan kerajaan ini adalah orang Kelantan. Jadi adakah dengan tanggapan itu menjadi salah satu faktor berani mengambil risiko bertanding di sini?
HUSAM: Tak ada itu tak betul, orang Kelantan di sini tidak seramai mana dan saya bukan datang kerana Kelantan, Datuk Najib dia dari Pekan macam mana dia boleh duduk sini? Kalau kira macam itu semua menteri-menteri tak boleh duduk Putrajaya. Tengku Adnan sendiri berasal dari Melaka, jadi kalau orang Melaka boleh bertanding sini, apa salah orang Kelantan bertanding di sini?
Saya bukan bertanding di sini untuk orang Kelantan tetapi untuk Malaysia, untuk negara kecuali dia buat di situ orang Kelantan tak boleh masuk sini kenapa nak 'bias' dengan Kelantan?
Mentang-mentang saya Kelantan, jadi saya ini rakyat kelas kedua? Perdana menteri pun sebut dalam ucapan beliau saya ini orang Kelantan, adakah orang Kelantan ini rakyat kelas kedua dalam Malaysia, sehingga orang di Putrajaya anggap saya ‘paria’ yang tak boleh bertanding.
Tak kenalah macam itu. Kita sudah berada pada abad 21. Malaysia negara maju, Putrajaya mesti menganuti fahaman masyarakat madani. Putrajaya mesti jadi ‘an excellent city ‘.
Ciri-ciri keterbukaan menerima perbezaan pendapat dan melahirkan idea-idea yang boleh dicambah oleh pelbagai pihak untuk kebaikan bersama dan kesaksamaan yang menyeluruh yang utama sekali.
Ciri kemanusiaan bukan bangunannya, bangunan itu kedua. Manusia dan kemanusiaan itu utama.
Bangunan dan lain-lain infrastruktur berada di tempat kedua. Infrastruktur itu dan lain-lain itu mesti diolah seperti kehidupan, kesejahteraan penghuninya bukan hendak menjadi Tengku Adnan.
Kalau kita kata jambatan itu mahal kerana dibengkokkan begitu-begini, tetapi kemudahan tempat letak kereta tidak ada, sudah tak seimbang antara keperluan manusia yang sebenar dengan hiasan-hiasan.
SINAR HARIAN ONLINE: Jadi apakah yang membuatkan Datuk berasa kuat berada di Putrajaya?
HUSAM: Saya berasa kuat, pertama kerana sekarang di seluruh negara atmosfera politik berubah untuk perubahan.
Kedua, orang di sini orang rasional, terpelajar, terbuka, celik IT dan menerima maklumat melalui internet. Pas percaya saya boleh menang.
SINAR HARIAN ONLINE: Jika Datuk berjaya menawan Putrajaya apakah janji yang akan Datuk tunaikan kepada pengundi di sini?
HUSAM: Janji khidmat apa yang telah saya lakukan di Dewan Rakyat, Dewan Negeri boleh ditonton dalam YouTube, ada buku dalam Parlimen saya semasa jadi ahli Parlimen yang dianggap sebagai ‘newsmaker of the year’ oleh Malaysiakini.com.
Ini kerana saya sentiasa membangkitkan masalah isu dengan tepat, berdasarkan fakta-fakta itu antara kebolehan saya.
Saya akan teruskan bakat saya dan menyantuni masyarakat di sini sebagai sahabat. Saya datang ke sini untuk bersahabat jadi KSU, KSN, dan jusa-jusa yang banyak pendapat dan idea, kita bina potensi mereka dapatkan idea-idea mereka ini sangat berguna untuk kemajuan.
Saya akan fokus untuk selesaikan masalah-masalah berbangkit dan maahad tahfiz sains. Perbadanan Putrajaya adalah sebuah badan yang banyak duit kerana ada Petronas. Tidak mungkin Perbadanan Putrajaya ini tidak boleh layan penduduk di sini termasuklah dalam isu lif rosak tidak dibaiki, bangunan lusuh, dan sebagainya.
Ini kerana berpunca tidak ada persaingan di sini, saya yakin kalau ada persaingan di sini orang beri perhatian meningkatkan lagi mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan Putrajaya
Insya-ALLAH selepas menang baru bincang, penerimaan sangat baik. Tahun 2013 ini, tahun kelam-kabut buat Umno, ramai nak jadi calon Bebas.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah harapan Datuk pada PRU13 ini?
HUSAM: Saya berharap pilihan raya ini, berjalan licin dan aman serta rakyat tidak diugut dengan apa-apa ugutan termasuk berbaur perkauman, perpecahan dan huru hara.
Rakyat perlu diberi kebebasan memilih, lima tahun sekali nak bertukar kerajaan. Sejak 55 tahun kerajaan sedia ada memerintah, ia sudah nyanyuk dan uzur dan tidak lagi mampu, seakan-akan bertongkat, hilang daya saing dan mutu perkhidmatan sebab itu kita buat demokrasi pilihan raya.
Wujudnya persaingan, pertukaran kerajaan, Malaysia akan jadi lebih maju. Saya yakin, ALLAH bantu hamba yang tulus ikhlas untuk berkhidmat. Selepas kempen saya yakin momentum rakyat di sini naik sedikit berbanding dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan