SINAR HARIAN
PUTRAJAYA - Sebanyak 544 pusat mengundi yang melibatkan 882 saluran
tempat mengundi akan dibuka mulai jam 8 pagi Selasa ini bagi tujuan
pengundian awal untuk anggota tentera dan pasangan, polis serta Pasukan
Gerakan Am (PGA) dan pasangan yang akan dilaksanakan serentak di seluruh
negara.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed
Baria berkata pusat mengundi tersebut, yang diletakkan di tempat-tempat
seperti Ibu Pejabat kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi
angota polis dan kem-kem bagi anggota tentera dibuka sehingga 2 petang
bagi pengundi berjumlah kurang dari 50 orang dan sehingga 7 malam bagi
yang lebih daripada itu.
"Untuk pengundian awal ini, pengundi-pengundi akan dicalit dakwat kekal
pada jari telunjuk sebelah tangan kiri. Dakwat kekal ini berbeza
warnanya berbanding dengan pengundian biasa dan akan melekat pada jari
selama tujuh hari.
"Bagi maksud menjalankan pengundian awal, SPR telah menyediakan 10,000
botol dakwat kekal," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR di sini
hari ini.
Kamaruddin berkata daripada 272,387 jumlah pengundi awal, seramai
161,251 merupakan anggota tentera dan pasangan, dan baki 111,136 adalah
anggota polis, PGA dan pasangan PGA.
Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu ada antara mereka yang mengundi melalui pos.
Antara pusat mengundi yang akan dibuka termasuk di Kem Pulau Tawar,
Pahang yang mempunyai seorang pengundi dan Kem Batu 10 Kuantan, Pahang
yang mempunyai 6,808 pengundi, katanya.
Kamaruddin berkata proses pengundian awal dijalankan mengikut kaedah
pengundian biasa dengan dikendalikan oleh petugas SPR, dan akan
disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pemerhati tempatan daripada 17 pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang dilantik SPR juga boleh memerhati proses itu dengan
kebenaran masuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM).
"Ini menunjukkan kami telus dari segi mengadakan undi awal ini," katanya.
Kamaruddin berkata kertas undi yang telah dipangkah akan disimpan sama
ada di lokap polis atau pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan hanya
akan dibuka pada pukul 4 petang hari pengundian biasa iaitu 5 Mei nanti
untuk dikira.
Beliau berkata ia bagi membolehkan keputusannya diketahui sekitar jam 6 petang hari yang sama.
Kamaruddin turut menafikan laporan bahawa undi awal telah dijalankan
pada 23 April lalu, kerana berdasarkan Subperaturan 3 (1A)
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, tarikh
hari pengundian awal hendaklah tidak kurang daripada tujuh hari selepas
hari penamaan dan tidak kurang daripada tiga hari dari tarikh pengundian
biasa.
Penamaan calon berlangsung pada 20 April.
Beliau berkata ini bermakna jika pengundian awal dijalankan pada tarikh
tersebut, ia tidak sah dari segi undang-undang dan SPR akan terdedah
kepada petisyen pilihan raya.
Pengundian awal dilaksanakan buat pertama kalinya pada pilihan raya
kali ini, dengan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan
Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, iaitu kategori orang yang
boleh mengundi awal. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan