TERKINI
JOHOR BAHRU,— Pemimpin pembangkang hari ini sepakat menamatkan perselisihan antara mereka, sekaligus menumpukan usaha Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Johor bagi menyumbang kerusi dan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).
“Mari kita ketepikan sikap perselisihan dan bersama menuju ke Putrajaya,” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau (gambar) yang kemudiannya dilihat bersalaman dengan Pengerusi PKR Johor Datuk Dr Chua Jui Meng.
Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dilaporkan berselisihan selepas Dr Chua dan Dr Boo secara terbuka mahukan kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini akan ditandingi veteran DAP Lim Kit Siang
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut berkata, “kepercayaan dan konsensus” antara ketiga-tiga parti -PAS-PKR-DAP- terikat bersama dalam PR.
“Ini adalah asas atau prinsip yang mengikat Pakatan Rakyat,” kata Saifuddin dalam ucapannya sewaktu melancarkan manifesto PR untuk negeri Johor.
Prinsip “give and take” dan “yakin dan percaya” antara pemimpin-pemimpin PR jelas Saifuddin adalah perlu dalam kalangan pemimpin mereka bagi mencapai matlamat utama mereka itu.
“Walaupun ada perbezaan, ianya jelas kami bersedia untuk mengenepikannya buat sementara waktu,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang juga hadir ketika pelancaran berkenaan.
Jelasnya, apa yang penting adalah perjuangan mereka menegakkan kebajikan dan keadilan untuk rakyat.
Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 DUN untuk dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga kepimpinan PR negeri.
Malah, sebelum ini, PR juga telah berkata Salahuddin akan dilantik sebagai calon menteri besar Johor sekiranya pembangkang berjaya menawan Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan