Ahad, 14 April 2013

Isu video: BN tidak akan desak pemimpin PR letak jawatan

JAMILAH HAMZAH

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
 
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak akan mendesak mana-mana pemimpin pembangkang yang dikaitkan dengan kontroversi video seks agar mengundurkan diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan, hari ini.

Beliau berkata, pendedahan video berunsur seks membabitkan beberapa pemimpin pembangkang akan menunjukkan tahap kebijaksanaan pembangkang menyelesaikan kontroversi panas tersebut.
Sehubungan itu katanya, rakyat juga menjadi penilai untuk memilih pemimpin.

"Kita tak desak pemimpin pembangkang atau (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan sesiapa yang terlibat dalam video seks untuk letak jawatan.

"Mereka ada disiplin parti masing-masing, kita serah kepada rakyat untuk buat keputusan," kata beliau pada sidang media di PWTC di sini hari ini.

Mengenai individu dalam video itu, Ahmad menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Menurut laporan Bernama lewat malam tadi, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mendakwa Umno sudah terdesak sehingga sanggup melemparkan pelbagai fitnah untuk
menjatuhkan beliau dari arena politik tanah air.

Ketika berucap pada satu majlis di markas Pas Kampung Molek, Dungun malam tadi, beliau berkata, Umno bertanggungjawab terhadap fitnah melalui media.

"Ini adalah kebiasaan Umno, mereka sanggup guna taktik kotor dengan menyebarkan fitnah... saya adalah mangsa terbaharu fitnah Umno," katanya.

Mustafa berkata beliau menyerahkan kepada dua peguamnya, iaitu Asmuni Awi dan Hanifah Maidin, untuk membawa isu itu ke muka pengadilan.

Beliau turut menafikan telah meletak jawatan selepas isu penyebaran gambar dan DVD lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Tiada ulasan: