Ahad, 14 April 2013
Menteri Besar Johor PR hanya akan berkhidmat selama dua penggal
JOHOR BARU — Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto khusus mereka untuk Johor hari ini berikrar untuk menghadkan perkhidmatan jawatan Menteri Besar maksimum hanya untuk tempoh dua penggal bagi mengekang gejala korupsi dan rasuah.
Ikrar yang dimasukkan ke dalam “Manifesto Rakyat Johor” dengan tema “Johor Maju dan Berkebajikan” itu, PR turut menegaskan atas prinsip akauntabilti, integriti, dan keadilan perkara itu perlu bagi mencapai matlamat rasuah sifar yang dilaungkan pembangkang tersebut.
“Ini salah satu cadangan yang paling bersejarah sebab jawatan menteri besar itu dihadkan kepada dua penggal sahaja ... macam presiden Amerika.
“Sebab kita merasakan mereka yang memegang kuasa terlalu lama akan cenderung untuk melakukan 'power corrupt',” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau ketika berucap dalam majlis pelancaran manifesto berkenaan di Hotel New York di bandaraya ini.
Datuk Abdul Ghani Othman, yang merupakan menteri besar sebelum ini telah menerajui Johor selama empat penggal bermula Mei 1995.
Bagaimanapun, desas-desus untuk menggantikan menteri besar di negeri deposit tetap Umno dan Barisan Nasional (BN) itu telah kedengaran apabila terdapat beberapa calon yang dikatakan sedang dipertimbangkan kepimpinan Pusat BN.
Sebelum Abdul Ghani, Johor sejak 1886 telah memiliki 14 menteri besar.
Selain tawaran berkenaan dan pembasmian rasuah, PR juga mengemukakan beberapa bantuan kewangan dan insentif dalam usaha mereka menarik sokongan pengundi Johor yang selama ini menjadi pengundi setia kepada BN seperti bantuan perumahan, pewujudan Ladang Sejahtera, gaji minimum RM1,100 untuk penjawat awam Johor dan 40,000 peluang pekerjaan dalam masa dua tahun untuk rakyat Johor.
Menegaskan isu jenayah menjadi ancaman terbesar Johor, penasihat DAP, Lim Kit Siang turut
mencadangkan PR supaya memasukkan tiga perkara lagi ke dalam manifesto PR iaitu, membasmi jenayah, rasuah, dan pemantapan institusi pendidikan.
PR jelasnya akan memastikan bandaraya Johor Bahru akan bebas daripada “kartel jenayah” sekiranya pembangkang itu memerintah.
“Apa Isu utama di Johor? ... masalah jenayah, ibu kota jenayah, “kartel crime” kita tidak akan biarkan ia berleluasa.
“Kita mahu jadikan Johor Bahru jadi bandar selesa,” katanya yang juga merupakan anak jati Batu Pahat ketika berucap dalam pelancaran tersebut.
Malah, selain bantuan insentif turut ditawarkan kepada komuniti beragama Islam, PR juga turut menawarkan pemartabatan hak bukan Islam di Johor melalui pewujudan portfolio khas hal ehwal bukan Islam dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan