KUALA LUMPUR- Keputusan MCA menyerahkan banyak kerusi tradisi yang ditandingi parti itu kepada Umno menunjukkan parti itu tidak boleh mewakili masyarakat Cina lagi.
Penyerahan itu juga menjadikan gabungan BN lompang satu sisi apabila penguasaan MCA dalam komponen itu semakin lemah dan dilihat bukan lagi parti untuk semua kaum.
Kelemahan itu lebih ketara apabila presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek sendiri tidak dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat Vincent Lee berkata, seperti ada yang tidak kena apabila presiden MCA sendiri tidak bertanding pada PRU yang amat penting bagi MCA dan BN.
"Sesuatu perkara yang agak pelik apabila MCA yang merupakan parti komponen BN yang mewakili masyarakat Cina, tapi presidennya tidak bertanding.
"Adakah MCA tidak percaya lagi pada Soi Lek dan takut beliau akan kalah atau Soi Lek sendiri tidak yakin beliau akan menang? Jadi ini petanda apa? katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib sebelum ini berkata, calon BN yang akan dipilih pada PRU13 ini hanya yang berstatus 'winnable candidate'.
Beberapa pendedahan di internet juga melaporkan beberapa lagi nama besar dalam BN tidak akan bertanding pada pilihan raya kali ini kerana mereka bukan dalam kategori 'boleh menang' yang disyaratkan Najib.
Desas-desus juga menyebut MCA akan memberi beberapa kerusi taradisi termasuk kerusi parlimen Kuantan, Wangsa Maju dan juga Gelang Patah kepada Umno pada PRU13 ini.
Justeru tegas Vincent, perkembangan ini membuktikan masyarakat Cina tidak boleh lagi mengharapkan MCA mewakili mereka.
"MCA sendiri hilang kepercayaan kepada presidennya dan mungkin bagi BN sendiri, MCA tidak lagi memberikan kepentingan kepada gabungan tersebut dan BN sudah tidak menaruh keparcayaan kepada masa depan MCA," katanya.
Sebelum ini, MCA juga telah bertubi-tubi menyerang perkara-perkara yang berkaitan dengan nilai Islam dan PAS, sebagai satu usaha terbesarnya untuk mendapat kembali sokongan kaum Tiong Hua, yang telah menyisihkan parti tersebut pada 2008.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan