Jumaat, 7 Disember 2012

‘Umno memang tak boleh diharap bela Islam’

 
Sekali lagi Umno diam membisu apabila Gerakan mempertikai peruntukan bagi pembangunan hal ehwal Islam di Pulau Pinang.



PETALING JAYA: Umno sememangnya tidak boleh diharap untuk memelihara dan meninggikan syiar Islam, kata Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pulau Pinang, Aidil Ibrahim.

Beliau berkata, sekali lagi Umno diam membisu apabila Gerakan mempertikai peruntukan bagi pembangunan hal ehwal Islam di Pulau Pinang jauh lebih besar dari negeri yang dipimpin Umno.

Baru-baru ini, seorang pemimpin Gerakan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mempertikai langkah kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu menaikkan peruntukkan Hal Ehwal Islam sebanyak 300%.

Beliau menegaskan, sekiranya kerajaan campuran BN yang diketuai Gerakan suatu ketika dulu tidak mengendahkan peruntukan hal ehwal Islam kerana tidak mendapat nasihat dari Umno, maka tiada sebab untuk Teng Chang cemburu dan iri hati terhadap kepedulian kerajaan

Pakatan hari ini yang banyak mengambil berat terhadap pembangunan dan perkembangan Islam di Pulau Pinang.

“Apakah Umno tidak lagi peduli tentang Islam? Apakah ada komplot antara Umno dan Gerakan?,” soal beliau dalam satu kenyataannya kepada FMT hari ini.

Ujar beliau, “Umno bukan sahaja gagal memimpin dan mendidik parti komponen dalam BN tentang Islam malah Umno tidak berbunyi sepatah haram pun untuk mempertahankan Islam apabila hukum menutup aurat dipersenda oleh seorang lagi pemimpin Gerakan, Tan Keng Liang baru-baru ini.”

Kata Aidil, ternyata parti Gerakan yang retak menanti belah ini seolah-olah telah dipergunakan oleh Umno bagi mencetus suasana tegang antara kaum dan agama.

“Taktik serampang dua mata ini mungkin digunakan Umno dengan harapan parti Gerakan kembali disokong oleh kaum bukan Melayu dan dalam masa yang sama, Umno menadah tangan menanti sokongan sekiranya pergaduhan antara kaum atau agama benar-benar berlaku.

“Itu adalah kelebihan parti berasaskan kaum atau parti perkauman seperti Umno,” ujarnya.

Justeru itu kata beliau, SAMM Pulau Pinang memberi amaran kepada Umno supaya tidak cuba untuk bermain api dengan menjadikan parti Gerakan sebagai pemetiknya.

“Sentimen perkauman dan ketegangan agama harus dihindar khususnya di Pulau Pinang. Rakyat negeri Pulau Pinang juga harus sedar perencanaan jahat yang disusun ini setelah Umno dan Gerakan menemui jalan buntu untuk merampas semula Pulau Mutiara itu secara demokrasi,” tegasnya.

Tiada ulasan: