Sabtu, 15 Disember 2012

UMNO Akhirnya Akur Rosmah Adalah Liabiliti Bagi Najib



 




 



Oleh Shahbudin Husin

Akhirnya sebuah buku biografi mengenai isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor akan diterbitkan dan muncul di pasaran pada pertengahan Januari depan yang antara lainnya dikatakan akan menyediakan satu bab khusus untuk menjawab pelbagai tohmahan mengenai dirinya.

Penasihat penerbitan buku itu, Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, pelbagai tohmahan dan cakap-cakap yang berlegar di pasaran politik mengenai isteri Najib itu akan dijawab melalui wawancara khas dengan Rosmah yang akan dimuatkan dalam satu bab khusus buku tersebut.

Buku tersebut hanya dijangka siap pada pertengahan Januari 2013 tetapi majlis pra pelancarannya sudah pun dilakukan baru-baru ini oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Dengan terbitnya buku ini sekurang-kurangnya membuktikan dua perkara. Pertama, UMNO dan Najib mengakui bahawa watak dan perilaku Rosmah selama ini adalah beban kepada UMNO dan BN serta disedari menjadi antara halangan utama untuk memenangi pilihanraya umum akan datang.

Melalui penerbitan buku itu, UMNO berharap wajah Rosmah dapat disolek cantik dan dilihat molek oleh rakyat, sekaligus memadam segala rupa buruk yang telah terserlah selama ini.

Yang kedua, penerbitan buku ini juga menandakan bahawa pilihanraya umum akan diadakan pada bulan Mac tahun depan. Oleh kerana buku ini hanya siap pada pertengahan Januari depan, Ahmad Maslan tentulah selepas itu akan berusaha mengedarkannya secara percuma kepada pelbagai pihak di seluruh negara, termasuk UMNO Bahagian, jabatan kerajaan, sekolah dan sebagainya melalui tajaan daripada beberapa pihak.

Selain dijual di pasaran dan diberi percuma, buku itu tentunya perlu memakan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk diedarkan secara meluas. Hanya selepas buku itu diedar dan yakin rakyat memahami mengapa Rosmah selalu menonjolkan diri, selalu bergaya mewah, selalu membeli perhiasan yang mahal-mahal, maka barulah selepad itu Najib membubarkan Parlimen.

Sudah tentu tarikh yang munasabah untuk Najib mengadakan piliharaya ialah Mac 2013.

Rupa-rupanya kenapa Najib sering menangguh-nangguh tarikh pilihanraya walaupun sudah berkempen dan turun padang bertemu rakyat sejak lebih setahun yang lalu adalah kerana beliau akhirnya menyedari masalah besar yang menghalang kemenangan UMNO dan BN ialah berkenaan karenah isterinya.

Meskipun sudah dicatatkan dalam sejarah beberapa negara dunia bagaimana banyak kerajaan tumbang kerana karenah isteri yang tak terkawal seperti di Filipina, Mesir dan Tunisia sebelum ini tetapi nampaknya tidak ramai pemimpin yang mahu belajar daripadanya.

Serentak dengan usaha membersihkan minda rakyat agar menerima watak isteri PM itu seada dan seredhanya, Tun Mahathir juga turut diheret untuk menyokong bahawa apa yang dilakukan oleh Rosmah selama ini adalah sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan sebarang norma masyarakat.

Tidak ada peraturan standard untuk isteri PM dan beliau berhak menonjolkan diri, begitulah lebih kurang ungkapan sokongan yang dilafazkan oleh Mahathir.

Tetapi masalah Rosmah sebenarnya bukan sekadar menonjolkan diri, masalah beliau juga ialah berkaitan suka bermewah, membeli perhiasan dan beg tangan yang mahal-mahal, pakaian yang gemerlapan, menggunakan kemudahan kerajaan untuk keluar negara, penglibatan dalam perniagaan dan kontrak kerajaan sebagaimana yang didedahkan oleh bekas adik angkatnya Deepak serta pelbagai hal lain lagi yang telah muncul satu demi satu sejak Najib menjadi PM pada 2009 lalu.

Semua dakwaan itu pula bukan cakap-cakap kosong. Sebahagiannya disahihkan dengan bukti bergambar seperti pemilikan beberapa barangan mewah dan perhiasan mahal yang dimilikinya sebagaimana yang tersebar dalam media baru.

Sebahagian perlakuan Rosmah yang menjadi percakapan dan kebencian rakyat itu sebenarnya bukanlah fitnah dan tohmahan. Ia adalah kebenaran yang nyata.

Sejauh mana cakap-cakap dan kebencian rakyat dapat dibersihkan melalui buku biografi setebal 164 mukasurat itu hanya masa yang menentukannya. Tetapi secara umumnya rakyat sekarang bukan lagi seperti rakyat tahun 60an atau 70an yang menerima bulat-bulat apa saja yang dihidangkan kepada mereka.

Kebijaksanaan rakyat dengan bantuan langit terbuka berlaku di semua pelusuk dunia. Isteri bekas Presiden Tunisia, Laila Ali juga mempunyai watak dan perangai yang hampir sama dengan Rosmah. Dia suka glamour, menonjol diri, bergaya mewah dan membeli perhiasan yang mahal-mahal di luar negara.

Ketika berlakunya era kebangkiran rakyat Tunisia dan perangai isterinya menjadi perbualan rakyat, sebuah buku biografi mengenai dirinya turut diterbitkan untuk membersihkan namanya dan menangkis persepsi yang sudah berakar umbi di kalangan rakyat.

Namun akhirnya buku itu gagal menghalang kebangkitan rakyat. Presiden Ben Ali akhirnya disingkirkan rakyat dan perangai serta perilaku isterinya yang boros dan suka bermewah itu adalah antara sebab yang dikesan sebagai punca kejatuhannya.

Isteri bekas Presiden Perancis, Carla Bruni juga menerbitkan sebuah buku biografi untuk membentuk persepsi baik mengenai dirinya kepada rakyat negara itu. Carla yang merupakan bekas model, ratu seks dan mempunyai sisi gelap yang tak terhitung memilih untuk menerbitkan buku biografi sebagai kaedah untuk menjawab pelbagai tohmahan mengenai dirinya serta membantu karier politik suaminya.

Buku itu laku di pasaran dan beredar ke seluruh dunia. Tetapi akhirnya dalam pilihanraya selepas itu, Presiden Sarkozy tewas kepada lawannya Francois Hollande.

Sebagaimana Laila, watak Carla Bruni juga dikesan sebagai antara punca kekalahan Sarkozy kepada lawannya.

Buku biografi Rosmah ini juga diterbitkan kerana UMNO akhirnya menyedari bahawa karenah dan perlakuan beliau sebelum ini merupakan liabiliti kepada Najib. Ia sama seperti matlamat buku mengenai Laila dan Carla Bruni diterbitkan.

Sama ada buku biografi mengenai Rosmah ini mampu membantu UMNO dan Najib atau sebaliknya biarlah rakyat yang menentukannya dalam pilihanraya nanti. Tetapi dengan UMNO akhirnya menyedari bahawa Rosmah adalah liabiliti bagi UMNO dan Najib sehingga sebuah buku mahal perlu diterbitkan mengenainya, Rosmah juga sebenarnya sedang dipersiapkan untuk dipersalahkan jika keputusan buruk yang menimpa UMNO dan BN nanti.

Sejarah Laila Ali dan Carla Bruni akan berulang lagi.

Tiada ulasan: