Rabu, 12 Disember 2012

Terpikat perjuangan PAS bela rakyat




DETIK DAILY

SEORANG lagi tokoh terkemuka, kali ini dalam bidang perniagaan, menyertai PAS. Dato’ Seri Abdul Rahman Maidin, 66, adalah seorang pengusaha yang telah terlibat dalam bidang pelaburan, infrastruktur, media dan komunikasi, kewangan dan teknologi selama 32 tahun.

Beliau pernah menerajui Dewan Perniagaan Melayu pada peringkat negeri dan nasional dan juga Dewan Perniagaan Kebangsaan, Dewan Perniagaan Asean dan telah melaksanakan banyak program demi kemajuan dan kepentingan peniaga.

Wartawan Harakah Pulau Pinang, MOHD SABRI SAID sempat mendapatkan pandangan tokoh korporat yang kini bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan juga membela golongan tertindas, melalui Institut Peduli Rakyat (IPR).

WARTAWAN :Berapa lama Dato’ Seri memerhatikan PAS sehingga berminat menyertainya secara terbuka?
 
ABDUL RAHMAN: Bagi saya PAS adalah sebuah parti yang cukup lama perjuangannya meneroka agenda yang pelbagai. Agenda yang dipolopori bukan setakat mendedahkan kepincangan kerajaan BN sebaliknya memfokuskan kepada isu rakyat sejagat yang tertindas.

Sejak tiga empat tahun ini PAS dilihat lebih kuat menumpukan kepada isu tanah yang menyebabkan prestasinya semakin memuncak.

Saya, menerusi NGO Institusi Peduli Rakyat (IPR) dapat rasakan perjuangan yang dibawa PAS ada kesamaan atau selari dengan harapan dan prinsip yang menjadi keazaman saya untuk Malaysia.

Lagipun PAS telah berjaya muncul dengan urustadbir yang baik di negeri di bawah pemerintahannya. Perjuangan sebeginilah merupakan intipati bukan soal perkauman. Ia mampu memikat semua rakyat Malaysia menerusi Negara Berkebajikan yang menjadi teras perjuangan PAS.

Adakah dasar BN yang menyeleweng membuatkan Dato’ Seri terus pilih PAS?

Tanyalah sesiapa pun yang memerhati tingkah laku kepimpinan BN, jika mereka terdiri daripada individu yang celik, pasti mereka memilih PAS, KeADILan ataupun DAP.

Dasar BN amat mengecewakan terutamanya terhadap masyarakat luar atau dalam bandar. Banyak dasar yang diamalkan perlu dihapuskan dan diganti dengan satu reformasi yang lebih memihak kepada kebajikan rakyat.

Apakah pandangan Dato’ Seri terhadap PAS dulu dan sekarang?

Saya nak komen agak sukar kerana dulu saya tidak dekat dengan PAS. Tapi dengan adanya beberapa perubahan seperti PAS lebih ke hadapan dalam isu-isu besar, sikap lebih disenangi seperti mementingkan kebajikan terhadap rakyat dan negara serta “PAS Untuk Semua”. Slogan seumpama itu dengan sendirinya meruntuhkan tembok kebimbangan orang yang dulunya beranggapan serong terhadap PAS, kini boleh duduk semeja atau menjadi ahli.

Ia berbeza dengan sistem yang dibawa Umno-BN yang mengamalkan “dasar perniagaan”. Semua boleh diniagakan, misalnya tanah, malah orang pun boleh diperdagangkan, hak-hak rakyat juga diniagakan, aset negara turun menjadi bahan yang diperniagakan Felda Global Ventures Holding (FGV).

Mereka hanya pentingkan keuntungan yang diperolehi tanpa menyedari masalah kejatuhan sehingga boleh tergadai semua sekali.

Serupa juga pembenihan dalam pertanian, semuanya diboloti tanpa memberi ruang kepada mana-mana petani yang mampu laksanakan dengan memperhebatkan teknologi yang ada. Kadang-kadang lebih apabila mengecewakan mereka yang terlibat dengan perniagaan tersebut ada yang tidak pandai berniaga pun. Tahu-tahu rugi memanjang.

Adakah Dato’ Seri rasa penindasan terhadap orang Melayu berlaku di Pulau Pinang sebagaimana didakwa Umno?

Saya dah bercakap terlalu banyak dalam hal ini. Siapa yang mula buat cerita tentang peminggiran orang Melayu? Setahu saya ia berlaku sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Dia kata orang Melayu Pulau Pinang terpinggir ketika melakukan lawatan ke Tanjung Tok Kong. Di Pulau Pinang, bila agaknya Ketua Menteri Melayu?

Dulu pun Cina, fasal apa timbul cerita Melayu dipinggir sekarang. Sebab Cina dulu bersubahat dengan Umno, dia tidak dipersalahkan?

Sekarang ini Cina tidak sebulu dengan Umno kerana berkawan dengan PAS dan KeADILan, maka terus dicop tidak betul.

Boleh bertukar sekelip mata sahaja! Saya sendiri mengaku bukan semua dah lengkap, malahan mesti buat perubahan. Itulah peranan parti-parti yang memperjuangkan masyarakat bawahan, yang mana orang Melayu ramai termasuk dalam golongan itu.

Azam kerajaan negeri Pulau Pinang memang baik, contohnya hendak memastikan rakyatnya sifar miskin tegar.

Pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan di bawah Pakatan Rakyat apabila berjaya membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 95 peratus iaitu RM630 juta kepada RM30 juta serta menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) daripada bankrap apabila RM230 juta hilang tanpa kesan. Apa pandangan Dato’ Seri mengenai situasi ini?

Sikap yang diambil oleh kerajaan Pulau Pinang amat bijak kerana pembayaran balik merupakan satu keperluan berbanding dengan zaman BN yang terus menambah hutang bayarnya tidak langsung dibuat.
Apa yang dilaksanakan BN jelas menunjukkan mereka tidak bijak mentadbir. Habis wang rakyat dipergunakan untuk pembinaan projek yang tidak menguntungkan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk mengatakan Malaysia megah tetapi hakikatnya dalam keadaan sakit tenat.

Perumahan mampu milik juga merupakan isu yang kerap diserang. Perwakilan Pulau Pinang, semasa Persidangan Agung Umno (PAU) baru-baru ini lantang bersuara kononnya di era Pakatan Rakyat ramai orang Melayu lari tinggalkan Pulau Mutiara kerana kenaikan harga tanah. Adakah ini benar?

Sepatutnya perwakilan Umno tidak payah cakap perkara itu sebab sejak dulu peristiwa harga tanah melambung tapi waktu itu mana dia Umno yang kata pejuang bangsa?

Perumahan mampu milik satu hal, tapi satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah soal sosial ekonomi yang membolehkan penduduk mampu bayar atau tidak. Bila sesebuah kampung dimajukan untuk pembangunan dan memberikan penduduk dengan rumah mampu milik, ia tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya apa salahnya perkampungan itu disusun dan dimajukan dengan kegiatan di situ. Jika kampung diroboh dan membawa penduduk ke penempatan lain di flat mampu milik, penduduk akan bingung dengan persekitaran baru. Dulu sebagai nelayan, berpindah pula ke kawasan lain, pastinya memberi kesan yang mengurangkan pendapatan.

Atau memindahkan penduduk yang menoreh getah ke kawasan yang jauh di pekan, pasti menyusahkan hidupnya yang mana akhirnya membuatkan mereka tidak mampu bayar rumah. Dulu ada juga tanah tapi sekarang merempat di tanah air sendiri. Dulu boleh tinggal empat kelamin di sebuah rumah kini ada dua bilik sahaja.

Kerajaan BN tidak peduli penduduk merana. Yang mereka tahu pembangunan berjalan dengan lancar manakala pemaju bagi mereka kaut keuntungan.

Sepatutnya kerajaan mudahkan urusan rumah ini kepada mereka yang tak mampu beli, sebagai contoh Parti Sosialis yang pernah menguasai politik di Pulau Pinang membina rumah yang disewa, selagi dia hidup, sebulan hanya RM25.00. Mereka tidak payah nak fikir takutkan bank tarik balik rumah, boleh fikir soal lain seperti pelajaran anak. Rumah tersebut masih ada di Jelutong dan Sungai Pinang.

Apakah nasihat Dato’ Seri kepada orang Melayu khususnya apabila menghadapi situasi sebegitu rupa?

Saya minta orang Melayu sedar dan celik terhadap apa yang berlaku selama 55 tahun. Jangan kita nampak Melayu yang telah berjaya dengan kemewahan kerana itu kelompok kecil. Yang ramai adalah orang Melayu yang menanggung hutang yang tinggi, miskin, mempunyai jurang pendapatan yang jauh dengan bangsa lain.
Tanya diri sendiri dan keluarga, apakah 55 tahun ini hidup kita tidak dibelenggu dengan hutang. Mereka yang hidup sama ada pinggir bandar atau kampung, buka tingkap lihat sekeliling, betapa tingginya kos hidup sekarang.

Apakah ini yang kita mahu 55 tahun lagi? Rakyat harus berani menukar kerajaan yang mempunyai agenda terbaik untuk rakyatnya. Fikirkan juga masa depan anak cucu. Perubahan harus bermula sekarang.
Ramai orang dulu ada tanah, sekarang dah tergadai; dulu ada rumah dah dirampas bank. Sanggupkah kita jadi pelarian di tanah air sendiri akibat politik pemerintahan yang menyusahkan rakyat dan memikirkan keuntungan diri, kroni dan kelompok mereka sahaja.

BIODATA

DATO SERI RAHMAN MAIDIN, 66, adalah seorang pengusaha yang telah terlibat dalam bidang pelaburan, infrastruktur, media dan komunikasi, kewangan dan teknologi selama 32 tahun.
Beliau telah menerajui Dewan Perniagaan Melayu pada peringkat negeri dan nasional dan juga Dewan Perniagaan Kebangsaan, Dewan Perniagaan Asean dan telah melaksanakan banyak program demi kemajuan dan kepentingan peniaga.

Beliau bukan sahaja terlibat dalam dunia niaga tapi sejak bertahun beliau meletakkan dirinya dalam kerja membantu kepada golongan yang memerlukan melalui beberapa organisasi kebajikan.
Perjuangan kesihatan rakyat, pembelaan rakyat alam sekitar dan sejak kebelakangan ini beliau banyak terlibat dalam isu ekonomi khususnya dalam isu pengambilan tanah di Penggerang, Johor dan di Kuala Terengganu serta isu pertanian di Perlis dan juga isu alam sekitar di Pulau Pinang dan Kubu Gajah di Perak.

Tiada ulasan: