Ahad, 2 Disember 2012

Salang: Siasatan dibuat jika ada bukti netbook 1Malaysia dijual

SINAR HARIAN

Datuk Joseph Salang
Datuk Joseph Salang 
 
SARIKEI - Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata terdapat dakwaan sebelum ini ada pihak yang menawarkan untuk menjual netbook 1Malaysia.
  
Tetapi beliau berkata tiada bukti untuk mengesahkan tindakan mereka itu dan untuk menjalankan siasatan.
  
"Dan sekarang dakwaan itu berbangkit semula dan dipaparkan di Facebook di mana mereka menawarkan untuk menjual netbook antara RM100 dan RM300.
  
"Saya tidak tahu sama ada ini adalah benar sebab sesiapa sahaja boleh paparkan jualan di Facebook. Ini boleh jadi penipuan. Bagaimana seseorang boleh mempunyai banyak netbook untuk dijual?," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas isu itu di sini malam tadi yang dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai baru-baru ini.
  
Salang berkata netbook itu diberi kepada rakyat yang memerlukannya.
 
"Saya tidak fikir mereka yang berkenaan harus mengambil jalan pintas untuk mendapat beberapa ratus ringgit, kerana mereka tidak akan dapat nilai daripada manfaat memiliki netbook itu," katanya.
  
Terdahulu ketika menghadiri majlis '1Malaysia Bersama Pemimpin' di Rh. Geramong di Nanga Ayam, Julau, Salang berkata Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang berjiwa rakyat yang berhak mendapat sokongan mereka pada pilihan raya akan datang.
  
"Ia telah mencapai banyak kejayaan untuk negara, memenuhi harapan dan permintaan rakyat dan banyak lagi yang sedang dan akan dilakukan.
  
"Para pengundi harus memberi (BN) peluang sekali lagi terutama untuk memenuhi semua janji kerajaan," katanya.
  
Katanya rakyat tidak perlu membazirkan undi mereka mengundi individu yang mewakili parti politik pembangkang yang tidak mempunyai agenda praktikal untuk rakyat walaupun calon tersebut adalah saudara atau rakan-rakan mereka.
  
Pada sebelah petangnya beliau menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh guru-guru yang berkhidmat di sekolah luar bandar di Julau di mana mereka berjanji memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap beliau dan kerajaan BN.  - Bernama

Tiada ulasan: