Isnin, 31 Disember 2012

Jual ikan di Facebook

Web Sinarharian.com.my

MERSING - Seorang nelayan dari Kampung Makam, di sini, menyambut baik cadangan dan saranan majikannya untuk menjual ikan di hadapan rumahnya bagi menambah pendapatan.

Samsuri Ismail, 35, berkata, dia tidak sangka pujukan majikannya itu akhirnya menjadi sumber penambahan pendapatan buat dirinya bagi menampung keluarga tersayang.

Menurutnya, perniagaan yang dijalankan atas bantuan isterinya itu kini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk sekitar kawasan kediamannya.

“Perniagaan menjual ikan ini adalah pendapatan sampingan bagi kami sekeluarga. Semua modal dikeluarkan majikan dan saya hanya menjalankannya.

“Dalam sehari, saya boleh meraih pendapatan sebanyak RM700 hingga RM800 termasuk modal dengan hasil jualan ikan ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Samsuri berkata, dia akan mendapatkan bekalan ikan daripada majikannya dan rakan nelayan lain setiap hari.

Menurutnya, walaupun baru dua bulan dibuka, mereka sudah mempunyai pelanggan tetap.

“Alhamdulillah, jualan semakin meningkat atas bantuan rakan yang memperkenalkan perniagaan ini ke laman sosial Facebook,” katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai jenis ikan tanpa perlu ke pasar, namun semua ikan segar yang dijualnya itu bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Jelasnya, oleh kerana keadaan cuaca yang kurang memuaskan dan tidak menentu pada musim tengkujuh, bekalan ikan amat sukar didapati.

“Antara jenis ikan yang dijual di sini adalah ikan cencaru, selar, kembong dan pari. Istimewanya, kami menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan,” katanya.

Tiada ulasan: