“Pengalaman berdepan tok kadi merupakan satu perasaan yang berlainan jika dibandingkan dengan perasaan ketika berhadapan ribuan penyokong di stadium.
“Ketika perlawanan, saya berdepan dengan dua kelompok iaitu yang menyokong dan tidak menyokong saya, sebaliknya pula di sini (majlis akad nikah), semua yang hadir mendoakan kesejahteraan kami,” katanya.
Beliau yang kini sah menjadi suami kepada Nur Eilunie Natasha Nazri, atau lebih dikenali sebagai Leuniey Natasha berkata, pengalaman tersebut membuatkannya lebih matang dan juga bersedia berhadapan dengan tanggungjawab yang bakal dipikul.
“Saya akui gementar tadi berlainan dari biasa dan saya bersyukur hanya dengan sekali lafaz sahaja, kami selamat diijabkabulkan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan menimang cahaya mata, Apex berkata, semuanya terpulang pada rezeki dan menerimanya jika diberi dalam masa terdekat ini.
“Saya rancang empat orang cahaya mata dan apa yang penting ianya terpulang pada rezeki kami dan kami juga terima jika ianya hadir dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata, hubungannya dengan Leuniey juga bukan sekadar sahabat, teman sejati dan isteri, tetapi sebagai seseorang yang sangat istimewa yang perlu dijaga setiap masa.
Sementara itu, Apex juga memberitahu status sebagai seorang suami tidak membebankan dirinya sebagai salah seorang pemain bola sepak terkemuka di Malaysia.
“Saya sudah bersedia untuk menjadi seorang suami dan dalam masa yang sama akan membahagikan masa dengan sebaik mungkin supaya seimbang antara karier dan rumah tangga,” katanya.
Apex turut berkongsi rahsia tentang ciri-ciri wanita idamannya yang ada pada Leuniey.
“Saya pilih Leuniey sebab dia memahami saya, saya seorang yang sibuk dan apa yang penting, dia sudah biasa dan faham dengan tugas saya dan kerjaya saya di padang. Kalau ‘ditinggalkan’ untuk perlawanan dia tidak pernah merungut.
“Beliau seorang yang lemah lembut dan berbudi pekerti tinggi, membuatkan hati saya tertarik untuk memilihnya,” katanya.
Dalam majlis tersebut, keluarga pengantin lelaki hadir dengan tema pakaian berwarna sedondon ungu dan disambut dengan keluarga pengantin perempuan yang bertemakan warna kuning keemasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan