Ahad, 30 Disember 2012

Pelajar wanita UTM lemas berenang di pusat sukan

SINAR HARIAN

JOHOR BAHRU - Seorang pelajar wanita Universiti Teknologi Malaysia ditemui mati lemas di dalam kolam renang di pusat sukan universiti itu di Skudai di sini petang semalam.
  
Siti Izzati Hasim, 19, pelajar tahun satu kejuruteraan biosains disedari lemas kira-kira 6.45 petang.
  
Mangsa yang berasal dari Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur sebelum itu dilapor pergi untuk berenang di pusat sukan itu bersama lima rakannya yang lain.
  
"Rakan-rakannya hanya menyedari kehilangan mangsa apabila mereka keluar dari kolam dan setelah mencari, mereka menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam," kata Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Utara, Supt Beh Eng Lai.
  
Beliau berkata pengawal keselamatan kemudiannya membawa mayat mangsa keluar dari kolam kira-kira 7.20 malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.
 
Sementara itu Timbalan Pengarah Sukan UTM, Armadi Ahmad yang dihubungi berkata mangsa merupakan anggota Palapes Laut UTM telah biasa menggunakan kolam renang itu.
  
"Ketika kejadian, kumpulan ini tidak diawasi jurulatih mereka atau penjaga kolam renang. Difahamkan sebelum mangsa ditemui lemas, penjaga kolam telah memanggil mereka untuk naik selepas tamat masa menggunakan kolam iaitu kira-kira 6.45 petang dan ketika itulah kehilangan mangsa disedari," katanya.
  
Menurutnya, pihaknya merasa kesal dengan kemalangan itu dan akan mengambil langkah segera untuk mengelak kejadian yang sama daripada berulang. - Bernama

1 ulasan:

Nurul berkata...

amat dikesali, kerana diketahui daripada rakan yang telah 2 3 kali ke sana untuk tujuan riadah, memang tiada life guard yang bertugas. Kalau ada pun individu yang memerhati adalah pakcik cleaner kolam.

pelajar tersebut datang atas dasar ingin beriadah, bukan kerana dtg bersama-sama jurulatih palapes laut, nampak sangat pihak sukan utm ingin menutup kesilapan dan kecuaian mereka selama ini.

dahlah nak masuk berenang tu pun kena bayar.