SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Golongan belia dinasihatkan memahami bahawa tujuan di
sebalik pemberian rebat RM200 oleh kerajaan adalah bagi membantu mereka
yang kurang berkemampuan memiliki telefon pintar.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata,
belia yang mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500 tidak
perlulah memohon supaya peluang terbuka kepada belia lain yang kurang
mampu memenuhi kuota 1.5 juta orang di bawah tawaran Pakej Komunikasi
Belia itu.
"Jika mampu beli telefon pintar berharga RM1,000 hingga RM2,000, tidak
perlulah mengharapkan bantuan kerajaan beli telefon. Ramai lagi belia
lain yang perlukan bantuan ini.
"Belia perlu belajar tengok keperluan (rakan) yang lain, bukan tengok
keperluan kita sendiri sahaja," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamed Maliki mengulas keresahan kalangan belia mengenai pengumuman
kerajaan memberi rebat itu yang hanya untuk pembelian telefon pintar
berharga sehingga RM500.
Menurut belia berkenaan, telefon pintar dalam lingkungan harga tersebut
tidak mempunyai fungsi yang mereka kehendaki dan meminta rebat RM500
itu dinaikkan.
Dua hari lepas, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata bahawa telefon
pintar 3G yang boleh dibeli melalui Pakej Komunikasi Belia itu untuk
mendapatkan rebat RM200, hanyalah bagi telefon berharga sehingga RM500.
Mengumumkan rebat tersebut ketika membentangkan Bajet 2013 September
lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia sebagai
usaha kerajaan memberi 1.5 juta belia akses kepada gerbang maklumat
dengan peruntukan RM300 juta bagi tujuan berkenaan.
Mohamed Maliki berkata, golongan belia perlu melihat keperluan sebenar
mereka yang mahu dipenuhi kerajaan di bawah pakej tersebut, iaitu
memberi kemudahan internet berkelajuan tinggi 3G bukannya untuk memenuhi
kehendak mereka memiliki gajet berteknologi tinggi.
Beliau berkata, bukanlah telefon pintar berharga RM1,000 atau RM2,000
sahaja yang boleh memberi akses 3G ini, malah telefon pintar berharga di
bawah RM500 juga boleh berbuat demikian.
"Setiap belia perlu sedar kemampuan kewangan kerajaan ada hadnya.
Tidaklah boleh sewenang-wenangnya memberi subsidi kepada semua belia.
Perlu ada kewajarannya dalam memberi bantuan ini," katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk
Ma'amor Osman berkata, kerajaan perlu memantau ketat kriteria pemilihan
bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat
bantuan.
"Kalau dah mampu beli telefon pintar barharga sampai RM2,000 tidak perlulah bantuan kerajaan lagi," katanya.
Ma'amor berkata, selain pembelian telefon pintar, belia perlu melihat
kepada kos yang perlu ditanggung selepas memiliki telefon itu seperti
membayar bil telefon dan internet.
"Belilah telefon ikut keperluan kita. Pakej 3G ini pelbagai, jangan
ikutkan perasaan sampai RM100 sebulan bayar bil kerana mahu internet
kelajuan tinggi tapi akhirnya tidak mampu bayar," katanya.
Tinjauan Bernama di beberapa buah kedai menjual telefon pintar
mendapati terdapat lebih 20 jenis model telefon pintar mempunyai fungsi
3G dan berharga kurang daripada RM500 sebuah.
Seorang peniaga peralatan komunikasi di Low Yatt Plaza di sini, Chung
Wai Kit berkata, kedainya pada masa ini menawarkan lapan model telefon
pintar yang mempunyai fungsi 3G.
Beliau berkata, tidak guna membeli telefon mahal jika tidak menggunakan
semua fungsi yang ada di dalam alat komunikasi tersebut. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan