Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati setelah terjatuh dari tingkat lapan Blok Cemara 2, Flat Kuarters Hospital Permai, di Johor Bahru semalam.
  
Kanak-kanak itu, D. Dinesh Kumar, anak sulung daripada tiga beradik, ditemui mati di lantai bangunan 15 tingkat itu dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam.
  
Bapa kanak-kanak itu, B. Devakumar, 22, berkata ketika kejadian dia tiada di  rumah kerana keluar membeli barangan keperluan dapur sementara isterinya V.Jayaturka, 22, pula sedang mandi.

Katanya, ketika kejadian Dinesh sedang bermain dengan dua adiknya di salah sebuah bilik.
  
"Sekembalinya dari kedai, saya lihat orang ramai berkumpul dan pada mulanya saya menyangkakan ada budak terjatuh ketika bermain di tingkat bawah.

"Bagaimanapun selepas menghampirinya, saya terkejut apabila melihat mangsa adalah anak saya dan ada saksi melihatnya terjatuh dari tingkat lapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah hari ini.
  
Menurutnya, saksi mendakwa ada melihat Dinesh duduk di tepi tingkap yang tidak mempunyai jeriji itu, dengan separuh badannya tergantung di luar tingkap.
  
"Orang ini telah menjerit supaya Dinesh untuk kembali ke dalam bilik, tetapi ia sudah terlambat," katanya.
  
Devakumar yang bekerja sebagai penyelia penyelia tukang  cuci di Singapura, membuat laporan di Balai Polis Tampoi pada 11.44 malam semalam.
  
Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
  
"Namun kita akan tunggu laporan penuh bedah siasat bagi memastikan sama ada terdapat unsur-unsur kecuaian ibu bapa," katanya kepada pemberita.- Bernama