KUALA LUMPUR: Pimpinan kanan PAS memperlekehkan tindakan kerajaan
menyahut cabaran presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk muncul
di televisyen bagi memberikan penjelasan berhubung isu 'mengkafirkan
Umno'.
Rais berkata program itu juga akan dirakam dan dinilai kesesuaiannya untuk ditayang kepada umum.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad membayangkan PAS akan menolak
tawaran itu kerana mahukan Hadi memberi penjelasan menerusi TV secara
langsung dan tanpa disoal balas oleh mana-mana pihak.
"Rais Yatim luculah… (untuk mengatakan) penjelasan Hadi Awang mengenai
isu amanat akan dirakam dan akan siar jika sesuai...orang macam Rais
memang tak boleh percaya,” kata beliau.
Semalam Rais berkata Hadi boleh memohon kepada kementeriannya mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.
Sebelum itu, Hadi berkata, beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada
1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi
siaran langsung di stesen televisyen tempatan.
Bagaimanapun Hadi tidak menjelaskan kenapa beliau hanya mahu memberikan
penjelasan itu menerusi TV sedangkan ada banyak saluran lain termasuk
media siber untuk beliau berbuat demikian.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
berkata, adalah lebih baik sekiranya Hadi membuat penarikan balik secara
rasmi amanat itu yang pernah diberikan kepada ahli PAS lebih tiga dekad
lalu.
Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli PAS hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut,
tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada
masyarakat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan