Ahad, 30 Disember 2012

Tee Keat: Agak lucu Soi Lek label blogger Umno ‘tak bermoral’


KUALA LUMPUR — Tindakan Dr Chua Soi Lek mengecam blogger pro Umno sebagai "tidak bermoral" adalah melucukan, kerana tahap akhlak presiden MCA itu dipersoalkan umum, kata bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat. 
 
Tee Keat yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, kecaman yang dibuat Soi Lek terhadap blogger pro Umno itu juga amat mengejutkan beliau.

"Saya cukup terkejut membaca kenyataan CSL (Dr Chua Soi Lek) membidas kumpulan blogger UMNO (yg wawancarakan dia baru-baru ini) sebagai "tak bermoral" kerana menghebahkan isi kandungan percakapannya yg tertentu dlm wawancara itu.

"Kenyataan itu telah tersiar dlm akhbar Cina pagi tadi . Saya rasa sungguh melucukan krn label 'tak bermoral' itu dilontarkan oleh CSL yg sememangnya tahap akhlak dirinya dipersoalkan umum," kata Tee Keat (gambar) dalam SMS kepada The Malaysian Insider.

Dr Chua malam tadi mengecam tindakan blogger Umno yang dakwanya telah memutar belit kenyataannya ketika pertemuan dengan mereka Rabu lalu, dan menuduh blogger pro Umno itu tidak beretika.

Presiden MCA itu menegaskan, beliau kecewa dengan tindakan segelintir blogger tersebut yang mendedahkan butiran perjumpaan mereka malah menegaskan beliau tidak akan berjumpa dengan mereka lagi kerana dakwanya ingin menghancurkan MCA.

"Saya sangat kecewa dengan blogger pro Umno ... mereka tidak ikhlas tentang apa yang telah dibincangkan.
"Ia perjumpaan tertutup dan saya ada bercakap tentang persiapan MCA hadapi pilihan raya umum ... Ada sesetengahnya hanya gurauan dan tidak patut didedahkan," jelasnya menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan blogger Umno tersebut.

"Mereka tiada etika melaporkan dan kefahaman dalam apa yang dibincangkan ... mereka melanggar janji itu," tegasnya kepada pemberita ketika sidang media selepas majlis makan malam bersama NGO dari Bandar Tun Razak di sini.

Soi Lek bagaimanapun turut menegaskan beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mereka serta tidak lagi akan melayan sebarang permintaan daripada blogger tersebut selepas ini.

"Jangan datang dan kacau saya lagi, mereka lebih suka 'spin' daripada membantu MCA ... Saya telah dimainkan oleh blogger pro Umno," katanya lagi, dan menambah, akan lebih berhati-hati dengan blogger Umno.

"Saya akan lebih berhati-hati, saya mempertikaikan tujuan mereka ... adakah mereka mahu bantu MCA atau hancurkan MCA," tegasnya.

Ketika pertemuan dengan blogger pro Umno Rabu lalu, Dr Chua dilaporkan berkata Ong menggunakan "faktornya" untuk mendapatkan sokongan di Melaka bagi mensabotaj beliau.

Menurut Syed Akbar Ali (syedsoutsidethebox.blogspot.com), blogger pro-Umno yang menghadiri pertemuan itu, presiden MCA itu turut menjangkakan Ong akan meninggalkan parti jika berlaku penggantungan Parlimen.

"Melihat kembali isu kurangnya sokongan dan beliau berbicara tentang Ong Tee Keat cuba mensabotajnya di Melaka. Dr Chua merasakan jika berlakunya penggantungan Parlimen selepas pilihan raya, Ong Tee Keat mungkin akan mengemas begnya dan pergi. Seperti Chua Jui Ming," kata pemilik blog syedsoutsidethebox.blogspot.com.

Jelas Tee Keat, beliau hanya "mencadangkan" kepada Dr Chua untuk berjumpa pakar sakit jiwa bagi mencari penawar untuk gejala membidas tidak tentu arah yang dihidapi pemimpin MCA itu.

"Saya hanya cadang perakukan pakar sakit jiwa kpd CSL agar dpt mencari penawar bagi gejala yg dia hidapi — jelas terbukti dlm tutur-kata dia yg membidas tak tentu pasal,( bukan ke rumah sakit jiwa," katanya, merujuk kepada kenyataannya sebelum yang meminta Dr Chua berjumpa pakar sakit jiwa.

Tiada ulasan: