Sabtu, 29 Disember 2012

Tujuh penghuni rumah puncak Setiawangsa dipindahkan

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Tujuh penghuni rumah di kawasan puncak Persiaran Bukit Setiawangsa dipindahkan bagi mengelak berlakunya gelongsoran tanah yang aktif berikutan benteng konkrit di kawasan itu runtuh, malam tadi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata sebagai langkah keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kejadian benteng runtuh itu diminta segera berpindah bagi mengelak bencana lebih besar.  

"Kita menghadapi masalah tanah gelongsor yang melibatkan rumah kedai di bahagian bawah yang diminta berpindah bersama dengan rumah di seberang jalan," katanya ketika ditemui pemberita di Persiaran Jalan Bukit Setiawangsa di sini, hari ini.

Sebelum itu, Pemolong Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya telah mengarahkan tiga penghuni rumah banglo dan peniaga-peniaga di 13 lot kedai dua tingkat untuk berpindah berikutan pergerakan tanah dikesan di kawasan itu 4 pagi tadi.

Azizan berkata jalan menuju ke Puncak Setiawangsa terpaksa ditutup bagi mengelak kejadian yang lebih buruk akibat pergerakan keluar masuk kenderaan.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis dan lain-lain agensi akan memantau pergerakan tanah runtuh dari semasa ke semasa, katanya.

Beliau mengharapkan keadaan cuaca yang baik, kerana sekiranya hujan lebat, ia akan memburukkan lagi keadaan di kawasan itu.

"Pada masa yang sama, kita menghadapi masalah laluan keluar masuk bagi kawasan ini. Berikutan itu, DBKL telah membuat keputusan untunk membuat satu jalan alternatif keluar masuk yang lain," katanya.

Ahmad Phesal berkata jalan alternatif yang dibuat hanya dibenarkan untuk laluan penduduk yang menetap di sana untuk berpindah manakala orang luar tidak dibenarkan masuk.

"Penduduk-penduduk yang terlibat akan diberi bantuan dan dipindahkan ke dewan berdekatan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) berkata ketinggian puncak itu dianggarkan 50 hingga 60 meter manakala punca kejadian sebenar masih disiasat.

"Pihak kami akan memasang peralatan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: