Ahad, 30 Disember 2012

Pengundi Pandan mahu pembongkar kes rasuah atau kaki rasuah?

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengundi Parlimen Pandan ada dua pilihan sama ada memilih parti yang pemimpinnya mengamal rasuah atau calon yang terkenal sebagai pembongkar kes rasuah, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa.

“Kes mahkamah boleh dijadikan penilaian sama ada pengundi mahu wakil rakyat yang bergelumang dengan rasuah atau yang kuat menentangnya demi kebaikan rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara 8 tahun dan denda RM977,560 terhadap Ketua Umno Bahagian Pandan, Abdul Ghani Ismail atas sabitan 10 kes rasuah berjumlah RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.

Sebaliknya, Fariz berkata, calon Pakatan Rakyat bagi kerusi itu, Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategik KEADILAN pula terkenal kerana bijak mendedah pelbagai penyelewengan dan rasuah.

Rafizi dianggap ‘hero rakyat’ kerana konsisten mendedah pelbagai penyelewengan pemimpin Umno bermula dari kes Lembu NFC melibatkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil, selain memperkenal mekanisme pemansuhan PTPTN dan Turun Harga Kereta.

Dalam pada itu, Fariz turut mempersoal amalan dwi-standard yang diterima dua pemimpin itu.

“Kenapa Ghani selepas enam tahun baru dibicara dan dijatuhi hukuman? Rafizi yang dedahkan penyelewengan cepat saja ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan Umno BN melawan rasuah, malah cuba melindungi mereka,” katanya.

Tiada ulasan: