ANTARA POS.COM
PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
hari ini menegaskan bahawa semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal
bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bebas rasuah dan
jenayah.
Tengku Adnan berkata, bakal calon BN bagi kesemua 222 kerusi Parlimen
dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) telah melalui proses saringan
teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon
tersebut ‘bersih’ dan bebas masalah.
"Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan
yang teliti,"katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian
sumbangan persekolahan, uniform Rela, ramah mesra bersama pemimpin dan
pesta jom makan durian di sini hari ini.
Selain itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata,
latar belakang bakal-bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk
memastikan mereka adalah pilihan rakyat.
"Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang
dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu-individu dalam
parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat,"
katanya.
Mengenai muka baru dan calon wanita yang bakal bertanding dalam PRU13, Tengku Adnan berkata “itu rahsia parti”.
Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM
Datuk Johan Jaaffar mencadangkan semua parti politik menghantar senarai
calon yang akan bertanding dalam PRU Ke-13 untuk ditapis SPRM.
Cadangan itu adalah untuk memastikan calon-calon yang bakal bertanding
'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas
ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu.
Pada majlis yang sama, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen
Putrajaya berkata beliau dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan terus
menggemblengkan tenaga untuk menyediakan keperluan bagi memberikan
keselesaan kepada penduduk.
"Saya juga memohon maaf kepada penduduk di sini kalau ada
kesilapan-kesilapan yang terlepas pandang atau terlupa perkara-perkara
yang patut saya lakukan bagi pihak mereka, tetapi tak dapat lakukan.
"Saya juga mengingatkan mereka agar menjadi masyarakat contoh untuk
negara kerana Putrajaya merupakan sebuah bandar lestari," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan