Khamis, 27 Disember 2012

Derita Pelakon 80-an Radi Kerdil

KL TODAY

 
SELAMA (Perak): Pelakon kerdil yang popular sekitar tahun 80-an, Radi merayu bantuan pelbagai pihak selepas daging pada kedua-dua belah punggungnya terpaksa dipotong berpunca daripada masalah saraf yang dialaminya sejak empat tahun lalu.


Radi atau nama sebenarnya Matrazhid Isa, 50, berkata, lebih malang lagi dia tidak dapat buang air besar secara normal kerana kesan penyakit berkenaan menyebabkan pihak hospital terpaksa menyalurkan usus pada bahagian perut yang ditebuk bagi mengeluarkan najis.



“Sejak empat tahun lalu hidup saya amat derita kerana penyakit ini sehingga membuatkan saya terpaksa meminta bantuan pelbagai pihak bagi meringankan beban yang saya tanggung,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di hospital daerah di sini.


Radi berkata, segala-galanya berpunca ketika dia mengambil kesempatan untuk pulang ke kampungnya di Bagan Baharu di sini dari Kuala Lumpur pada tahun 2008 dengan hanya menaiki motosikal kapcai beroda empat untuk orang kelainan upaya (OKU).


Katanya, ketika tiba di kampung yang mengambil masa selama sembilan jam itu, dia tiba-tiba jatuh sakit yang menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi kebas.


“Ketika itu saya ingatkan masalah ini tidak serius sehinggalah saya melakukan rawatan secara tradisional iaitu dengan membakar batu bagi tujuan memanaskan bahagian punggung saya untuk menghilangkan rasa kebas.


“Malangnya, batu yang saya bakar itu terlalu panas dan apabila saya duduk, saya tidak menyedari daging pada kedua-dua belah punggung saya itu telah “masak” seperti dipanggang,” katanya yang memberitahu tidak merasai kesan panas tersebut kerana kebas.


Jelasnya, tidak beberapa lama kemudian daging berkenaan menjadi lebam dan mula membusuk sehingga dinasihatkan oleh doktor agar melakukan pembedahan.


Akibat daripada penyakit itu, dia yang sebelum ini membuka kedai menjual kad prabayar dan telefon bimbit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur hanya bergantung hidup kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal masing-masing sebanyak RM300 sebulan.


Katanya, jumlah itu tidak mencukupi untuk dia membeli plastik sarung najis yang perlu digunakan kira-kira lima kali sehari serta urusan makan minum dan kelengkapan lain yang mencecah lebih RM300 sebulan.


Dia juga terpaksa menyara dua orang anaknya yang berusia 12 dan 17 tahun. Salah seorang anaknya tinggal dengan bekas isterinya dekat sini.


Kata Radi, dia tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana persatuan seni dan juga Pertubuhan Kebajikan Orang-Orang Kerdil Malaysia walaupun merupakan antara pengasas pertubuhan tersebut dengan memegang kad keahlian nombor empat.


“Saya agak sedih dengan penderitaan yang saya tanggung ini dan berharap ada pihak yang bersimpati dengan nasib saya.


“Bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada kakitangan hospital yang menjaga saya dengan baik seperti keluarga mereka sendiri sepanjang saya dirawat di sini,” katanya.



Dalam bidang seni, Radi yang mula berlakon di pentas-pentas Felda pada tahun 1974 pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Tuan Badul, Panglima Badul dan filem Hongkong iaitu Angle Two pada awal 1980-an.


Rakan-rakan seangkatannya adalah Amran Kerdil, Kamal Kerdil, Param, AR Badul, Zami Ismail dan juga Ahmad B.


Dia juga pernah diberi penganugerahan Bapa Wiraku oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2006 serta anugerah kerana menjadi Pengasas Pertubuhan Orang-Orang Kerdil Malaysia.


Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Radi bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi Maybank Islamic miliknya menerusi nombor akaun 1583-0533-5259.

Tiada ulasan: