SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Seramai 15,488 individu dan syarikat di Wilayah
Persekutuan yang dikenal pasti cukup haul tahun ini untuk membayar zakat
pendapatan dan perniagaan masih belum berbuat demikian.
Pengurus Besar Operasi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (PPZ-MAIWP) Mohammed Hassan berkata bilangan itu melibatkan
jumlah kutipan sebanyak RM42.8 juta.
Bagi Januari hingga November tahun ini, PPZ telah pun menerima kutipan
lebih RM311.8 juta daripada 102,291 pembayar zakat, katanya kepada
pemberita ketika meninjau pembayaran zakat di kaunter zakat Masjid
Negara di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohammed berkata individu dan syarikat yang masih belum
membuat pembayaran zakat masih berpeluang untuk berbuat demikian di
sembilan kaunter PPZ mulai pukul 8.15 pagi hingga 8 malam pada Ahad dan
Isnin ini.
Kaunter tersebut dibuka di Shamelin Perkasa (Ibu Pejabat); Daruzzakah
Kampung Baru; Masjid Negara; Wangsa Maju; Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr
Ismail; Masjid Imam Al-Ghazali Kepong; Masjid Abdul Rahman Auf Jalan
Puchong; Presint 9 Putrajaya dan Ujana Kewangan di Labuan.
Sementara kaunter di Pusat UTC Kuala Lumpur, Pudu Sentral akan
dilanjutkan waktu operasi sehingga pukul 10 malam pada hari yang sama.
"Pada waktu biasa operasi kaunter ialah 8.15 pagi hingga 4.45 petang.
Mereka yang datang membayar pada dua hari itu akan menerima cenderahati
istimewa sebagai tanda penghargaan.
"Ia juga sesuai untuk membawa keluarga bagi didikan awal kepada anak-anak berkaitan zakat," katanya.
Beliau juga berkata, mereka yang ingin membayar zakat melalui perbankan
internet boleh melakukannya sebelum jam 12 tengah malam esok bagi
membolehkan tarikh resit dapat dikeluarkan pada tahun ini juga.
"Jika transaksi (perbankan internet) dibuat pada hari Isnin, mereka
perlu menelefon talian zakat 1-300-88-5757 segera bagi membolehkan resit
dikeluarkan pada hari yang sama, sebelum memasuki tahun baru," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan