Ahad, 30 Disember 2012

Bukti Johor pinggirkan orang Melayu bawahan



Oleh SALMAN HUSSIN

KLUANG: Kira-kira 300 peneroka tanah kerajaan di Kahang, dekat sini, kecewa berikutan tindakan Pejabat Tanah Kluang memberikan tanah yang telah mereka teroka kepada pihak lain sedangkan permohonan bagi mendapatkan tanah tersebut telah pun dibuat sejak 2008.

Peneroka terbabit juga mempersoalkan tindakan Pejabat Tanah Kluang yang didakwa begitu mudah meluluskan permohonan tanah seluas kira-kira 80 ekar kepada seorang wakil rakyat dari MCA hanya dalam masa tiga bulan sahaja.

Selain itu peneroka juga turut mendakwa, sejumlah 193 ekar tanah yang terletak bersebelahan tanah yang mereka mohon juga telah diberikan kepada kaum India untuk tujuan menternak lembu.

Begitu juga beberapa individu yang dikenal pasti terdiri dari kalangan orang kaya turut mendapat tanah di kawasan tersebut dan kawasan mereka langsung tidak diganggu pihak berkuasa.

Peliknya peneroka tanah yang terdiri dari orang melayu dan 100 peratus ahli Umno yang miskin dan tidak bertanah walau seinci pun ini  telah dinafikan hak untuk mendapatkan tanah tersebut.

Demikian dinyatakan Pengerusi Pertubuhan Peserta Pertanian Berkelompok Sepakat Tiga Negeri Johor (PPBEST), Khani Ayub, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, bukan sahaja permohonan mereka tidak diluluskan sebaliknya pihak-pihak berkenaan telah bertindak merobohkan rumah-rumah peneroka terbabit tanpa ada walau sedikit pun rasa belas kasihan.

Berikutan dari insiden pada 20 November lalu ini menyebabkan 10 rumah telah musnah dan kira-kira 40 penghuni rumah terbabit telah hilang tempat tinggal selain turut mengalami kerugian yang agak besar kesan dari tindakan yang dianggap tidak berperikemanusiaan ini.

“Saya merasa sungguh sedih dan kecewa dengan sikap pihak-pihak berkenaan yang langsung tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap orang melayu yang miskin, kami hanya minta sedikit tanah untuk tapak rumah dan bercucuk tanam sebab kami memang tidak mempunyai tanah dan rumah.”

“Selama ini ada diantara kami yang menyewa rumah atau tinggal bersama orang tua kerana tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri, kami tidak meminta sehingga berpuluh-puluh  atau beratus-ratus ekar tetapi memadai sekadar tapak rumah dan sedikit kawasan untuk bercucuk tanam bagi menyara keluarga sebab kami tiada pendapatan tetap.”

“Tidak sepatutnya kami dilayan sebegitu buruk seolah-olah kami ini pendatang asing, kalau kerajaan boleh beri tanah kepada kaum lain dengan begitu mudah, kenapa hak yang sama tidak diberikan kepada kami  sedangkan kami juga rakyat Malaysia, mana perginya slogan ‘rakyat didahulukan’ jika begini sikap kerajaan terhadap rakyat.”

“Kami tidak menceroboh tanah ini secara membabi-buta tetapi melalui permohonan yang sah dan permohonan kami mendapat sokongan dari berbagai pihak termasuk Menteri Besar, Wakil Rakyat, Pejabat Perhutanan Negeri dan juga Jabatan Pertanian Negeri tetapi kenapa permohonan kami masih tidak diluluskan bahkan lebih malang lagi borang permohonan kami pun hilang.” Jelas beliau pada sidang media di sini, 21 November lalu.

Justeru kerana itu beliau memohon Pentadbir Tanah Daerah (PTD) Kluang bersikap adil terhadap permohonan mereka.

“Kami juga hairan bagaimana pihak yang menceroboh tanah bersebelahan tanah yang kami mohon telah pun diberikan borang permohonan dan difahamkan bayaran pendaftaran juga sudah dibuat sebaliknya permohonan kami yang sudah sekian lama dibuat langsung tidak dilayan bahkan borang permohonan kami pun hilang.” Jelas beliau dengan nada kesal

Hadir sama pada sidang media tersebut Setiausaha PPBEST, Jamaluddin Saat, Penyelaras Pusat Aduan Rakyat (PAR) PAS Johor, Syed Othman Abdullah, Yang DiPertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta penduduk terbabit.

Selanjutnya Khani yang juga bekas Anggota Tentera ini melahirkan kekecewaan di atas kecuaian Pejabat Tanah Kluang di atas kehilangan borang permohonan tanah mereka.

“Bagaimana borang permohonan tanah ini boleh hilang atau pun mungkin mereka sengaja memberikan alasan ini sebagai helah semata-mata kerana mahu memberikan tanah ini kepada pihak lain.”

“Walau pun mereka mengatakan borang permohonan kami telah hilang tetapi kami masih menyimpan salinan permohonan tersebut sebagai bukti bahawa kami memang telah membuat permohonan secara rasmi kepada Pejabat Tanah Kluang.” Jelas beliau

Sementara itu Syed Othman pada sidang media yang sama menegaskan, pihaknya memandang serius  insiden yang menimpa peneroka tanah terbabit sambil menyifatkan, kes seumpama ini bukan kali pertama berlaku membabikan orang melayu di negeri ini.

“PAS Johor memandang serius isu ini dan kita amat bersimpati dengan nasib yang menimpa peneroka terbabit, kita juga merasa sungguh kesal dengan sikap pemimpin-pemimpin Umno termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, yang gagal membela nasib rakyat yang beliau wakili.”

“Wakil-wakil rakyat cina dan India di Parlimen Sembrong dan Kluang ini begitu bersungguh-sungguh membantu kaum masing-masing untuk mendapatkan tanah dan mereka berjaya mendapatkanya tetapi wakil rakyat melayu tidak begitu.”

“Oleh kerana itu kita akan berusaha untuk membantu mereka dengan seberapa segera yang mungkin dan antara tindakan awal kita ialah, menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, bagi menuntut capurtangan beliau untuk menyelesaikan isu ini.”

“Sekiranya usaha ini gagal maka kita akan membawa peneroka terbabit ke Parlimen untuk berjumpa dan menyerahkan memorandum kepada Hishamuddin pula, sekiranya semua usaha ini gagal juga maka kita menyeru peneroka tanah terbabit dan juga seluruh rakyat Johor supaya menumbangkan Umno-Barisan Nasional (Bn) pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana mereka telah gagal membela nasib rakyat terutama orang melayu.”

“Jika PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negeri ini, kita berjanji akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tanah yang sering dihadapi rakyat negeri ini dengan secepat mungkin.” jelas beliau

Tiada ulasan: