Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor berkata
penerbitan kalender dwibahasa didakwa secara jelas untuk menakutkan
orang bukan Islam terhadap hukum hudud.
PETALING JAYA: PAS Selangor mengecam tindakan memperkecilkan undang-undang hudud yang didakwa membawa mesej untuk mengelirukan orang bukan Islam menerusi penerbitan kalender tahun baru 2013.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata penerbitan kalender dwibahasa iaitu Cina dan Inggeris didakwa secara jelas untuk menakutkan orang bukan Islam terhadap hukum hudud.
“Dewan Pemuda Pas Selangor merasakan tindakan biadap ini adalah suatu tindakan bacul dan pengecut pihak-pihak yang pastinya mempunyai akal fikiran yang tidak waras,” katanya.
Menurut Hasbullah tindakan itu juga satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam negara ini.
Maka pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan itu ditaja oleh parti tertentu negara ini, yang didakwa juga merupakan sekutu rapat kepada kerajaan pusat yang memerintah.
Ujar beliau, cukup jelas penerbitan itu juga merupakan tindakan terdesak puak tersebut untuk meraih simpati masyarakat bukan Islam yang telah menolak mereka di dalam pilihanraya umum lalu.
“Dewan Pemuda Pas Selangor dengan ini mendesak pihak polis dan jabatan agama dapat mengambil tindakan segera untuk melakukan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama dengan isu ini,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan