Isnin, 31 Disember 2012

Penduduk Pangsapuri Kayangan Lega Dapat Meter Individu


OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA : Penantian penduduk Pangsapuri Kayangan di sini untuk mendapatkan meter individu dan menikmati 20 meter padu air percuma dari Kerajaan Negeri menjadi kenyataan apabila proses pertukaran itu dijalankan Disember ini.

Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada Mac 2008 dan mengumumkan pemberian istimewa itu, Pengurusan Badan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut tidak ketinggalan membuat permohonan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi proses penukaran meter pukal kepada meter individu.

Setiausaha JMB pangsapuri berkenaan, Moi Hoy Meng berkata, apa yang diperoleh penduduk di kawasan itu adalah hadiah penuh bermakna sempena perayaan Krismas dan tahun baru 2013 yang akan menjelang.
“Saya begitu gembira kerana apa yang kita tunggu akhirnya menjadi nyata dan ia hadiah penuh makna kepada semua penduduk di pangsapuri ini.

“Semoga kita semua akan beroleh faedah dengan pemberian air percuma daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam majlis meraikan acara itu semalam yang turut berterima kasih kepada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam usaha merealisasikan proses migrasi meter berkenaan.

Proses migrasi tersebut melibatkan 192 daripada 236 rumah di pangsapuri itu dijalankan Syabas dan berakhir baru-baru ini.

Seorang penghuni, Amirul Salleh, 33, menjelaskan dengan pertukaran meter akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk terutama dari segi kewangan lebih menjimatkan.

“Dengan pertukaran meter kita akan mendapat air percuma dan bayaran bil akan berkurangan. Ia akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk dengan cara berjimat,” kata kakitangan kerajaan ini.

Nik Nazmi berkata, dengan kejayaan proses migrasi dari meter pukal kepada individu, diharap penduduk pangsapuri kawasan itu akan menikmati kemudahan disediakan Kerajaan Negeri yang selama ini memberikan pelbagai ganjaran menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau berkata, biarpun proses tersebut memakan masa namun dengan kerjasama semua pihak, ia akhirnya dapat dijayakan dan penduduk memperoleh manfaat seperti dijanjikan.

“Dengan kesungguhan pengurusan JMB dan semua pihak terlibat memperjuangkan perkara ini maka penduduk dapat menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan Negeri menerusi pegangan aset tunai melebihi RM2 bilion ketika ini akan terus memberikan banyak kemudahan kepada rakyat di Selangor,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi JMB, Michael Lim dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam, Izham Hashim.

Tiada ulasan: