Pasangan itu bernikah di kediaman keluarga pengantin perempuan sambil disaksikan anggota keluarga kedua-dua mempelai.
TUMPAT: Dengan sekali lafaz, penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, 23, sah bergelar suami kepada model dan usahawan, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, pada majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, di sini, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib pada 10.25 pagi di kediaman keluarga pengantin perempuan sambil disaksikan anggota keluarga kedua-dua mempelai.
Pada majlis tersebut juga, Khairul Fahmi atau lebih mesra disapa Apek, tampil bergaya memakai baju Melayu berwarna kuning cair menyerahkan wang hantaran sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh Nur Eilunie.
Kira-kira 2,000 tetamu termasuk peminat turut hadir pada majlis akad nikah tersebut.
Khairul Fahmi ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata beliau bersyukur majlis akad nikah tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul.
`Saya gementar’
“Alhamdulillah majlis perkahwinan saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Saya pilih Leuniey (Nur Eilunie) kerana beliau faham dengan kerjaya saya yang sentiasa sibuk. Sebagai contoh, saya pulang untuk membuat persediaan majlis ini sehari sebelum majlis berlangsung.
“Saya akui gementar ketika melafazkan akad nikah tetapi perasaan itu tidak sama ketika beraksi di atas padang kerana ramai yang beri sokongan dan mendoakan saya pada hari ini,” katanya.
Khairul Fahmi berkata beliau akan terus mengekalkan prestasinya sebagai penjaga gol nombor satu negara walaupun telah berkahwin.
Beliau berkata akan menyerahkan perjalanan hidupnya kepada Allah s.w.t dan berharap untuk menimang sekurang-kurang empat cahaya mata.
Sementara itu, bagi Leuniey pula, beliau berharap Apek akan menjadi ‘kapten’ kepada keluarga mereka dengan baik walaupun sebelum ini sering terpalit dengan pelbagai kontroversi yang melanda.
Ini jodoh
“Saya bersedia sepenuhnya sebelum menjadi isteri Khairul Fahmi. Ketika bercinta, keluar pelbagai cerita dalam akhbar dan blog, namun saya tak cepat melenting dan ambil pendekatan berbincang dengannnya bila sesuatu kontroversi timbul.
“Ini jodoh yang telah ditentukan dalam perjalanan hidup kami. Saya bersyukur kami telah disatukan,” katanya yang turut menyifatkan Khairul Fahmi sebagai seorang yang romantik dan penuh kejutan.
Bagaimanapun, kedua-dua mempelai ini belum merancang untuk berbulan madu berikutan Khairul Fahmi kini sibuk dengan persiapan menjelang Liga Malaysia yang bakal bermula pada Januari depan.
Majlis resepsi bagi pihak pengantin perempuan akan diadakan pada Ahad ini di Hotel Renaissance Kota Baharu manakala majlis menyambut menantu akan diadakan di rumah Khairul Fahmi di Cherang pada 5 Januari.
Selain itu, pasangan itu turut dijadual untuk mengadakan satu lagi majlis resepsi di Hotel Royal Bintang, Kuala Lumpur pada 13 Januari ini dan turut menerima tajaan bernilai kira-kira RM300,000 daripada pelbagai pihak.Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan