SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji
yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan
mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, dengan adanya jadual gaji
yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi
masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.
"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan
menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang
lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada
Bernama di sini.
Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, cadangan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa
Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.
Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi
kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi
melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.
"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu
kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa,
justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa
Inggeris dengan negara luar," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan