KELAB GREENBOC
Banda Hilir - Tindakan pantas seorang pemandu memadam api di bahagian enjin berjaya menyelamatkan 30 nyawa pelancong selepas bas Panorama Melaka dipandunya terbakar di Jalan Bukit Senjuang, di sini, petang semalam.
Bas dua tingkat dipandu Md Noor Rauh, 49, yang dalam perjalanan dari Menara Taming Sari mengelilingi bandar raya Melaka sebelum kembali semula di menara tersebut, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang.
Md Noor berkata, kejadian disedarinya apabila sebuah kenderaan membunyikan hon menyebabkan dia memberhentikan bas di bahu jalan dan melihat api selepas membuka bonet enjin di bahagian belakang bas berkenaan.
“Bas ini mula bergerak dari menara kira-kira jam 2.45 petang membawa pelancong termasuk dari Singapura, Kuala Lumpur dan Johor namun selepas melalui Jalan Parameswara masuk ke Jalan Bukit Senjuang, saya terdengar bunyi enjin lain macam.
“Selepas sebuah kenderaan membunyikan hon, saya yang tiada pilihan lain terpaksa memberhentikan bas di tepi jalan lalu turun untuk memeriksa enjin,” katanya yang sudah hampir empat tahun bekerja sebagai pemandu bas.
Menurutnya, selepas melihat api setelah membuka bonet enjin, dia segera mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri dan dalam masa sama mendapatkan alat pemadam api yang disimpan di dalam bas.
“Saya sempat mendail nombor kecemasan tetapi tidak bercakap kerana sibuk memadam api namun saya meminta bantuan seorang pemandu bas ekspres yang melalui kawasan tersebut untuk menghubungi bomba.
“Ketika itu bas Panorama lain yang melalui kawasan ini turut berhenti mengambil semua penumpang dari bas saya untuk meneruskan perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II, N Raman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.15 petang dan tiba di lokasi 16 minit kemudian.
“Apabila sampai, api sudah dipadamkan oleh pemandu menggunakan alat pemadam mudah alih dan pemeriksaan lanjut mendapati keadaan bas tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan ini.
“Lima anggota turut membersihkan tumpahan minyak di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan