SHAH ALAM: Dakwaan yang mengatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai
sebuah parti yang tidak mempunyai ideologi yang sihat serta tiada
halatuju yang tepat, disanggah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi
Yusoff.
Yusmadi menegaskan kewujudan PKR sejak lebih 10 tahun yang lalu
sekurang-kurangnya menyumbang kepada banyak perubahan dalam landskap
politik negara.
“Semenjak
kewujudan parti PKR, saya melihat banyak perkembangan baru di dalam
politik Malaysia terutama sekali dari segi politik pembangkang di
peringkat negeri mahupun di peringkat nasional.
“Ini bagi saya merupakan fakta membuktikan bahawa PKR telah berjaya
membawa satu sinergi, tenaga baru, di dalam politik di tanahair. Dan
mengenai pandangan bahawa PKR ini ideologi yang tidak sihat, saya
berpandangan bahawa ia merupakan pandangan peribadi beliau yang bagi
saya tidak mewakili kebanyakan penyokong PKR mahupun rakyat kebanyakan,”
katanya.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor
mendakwa PKR tidak mempunyai halatuju yang sihat dan matlamat yang
kabur.
Beliau berkata, PKR ditubuhkan pada awalnya untuk membebaskan Ketua
Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini Ahli Parlimen Permatang Pauh itu
sudah bebas dan PKR terus terkapai-kapai untuk berjalan seiring dengan
rakan komponennya, PAS dan DAP.
Mengulas dakwaan itu, Yusmadi berkata ia adalah pandangan peribadi Zulkifli yang tidak menggambarkan realiti sebenar.
Menyifatkan PKR sebagai satu wadah perjuangan masa hadapan, Yusmadi
mendakwa parti tersebut telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya
kepada rakyat dengan menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai contoh.
Masa
hadapan negara tegas beliau akan lebih cerah di bawah pentadbiran PKR
yang diterajui oleh Anwar yang mempunyai pengalaman luas di dalam
mentadbir kerajaan.
“Saya berada di lapangan terutama di Balik Pulau sendiri mewakili
hampir lebih daripada separuh pulau. PKR berjaya menyantuni keperluan
masyarakat di kampung, sehinggalah ke bandar-bandar. Jadi bagi saya ini
adalah satu wadah perjuangan masa depan.
“Apatah lagi di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
mempunyai pengalaman yang unik, berbeza dengan pemimpin yang lain iaitu
(Anwar) pernah berada di dalam kerajaan memimpin negara semasa beliau
menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” jelas beliau.
Yusmadi juga mengulas dakwaan veteran DAP Pulau Pinang itu yang
mengatakan PKR yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail tidak mendapat sokongan padu sepertimana DAP dan PAS.
Hakikatnya jelas Yusmadi, parti-parti komponen Pakatan sentiasa
membantu di antara satu sama lain bersandarkan kelebihan masing-masing
di dalam memperkuatkan persiapan mereka menghadapi BN.
“Bagi saya itu sekali lagi dakwaan peribadi beliau yang tidak
menggambarkan gambaran sebenar di akar umbi kerana contohnya macam saya
di Parlimen Balik Pulau sendiri, kita sentiasa bantu-membantu dari segi
kekuatan Pakatan kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri..
“Bagi saya ini ialah satu politik baru yang mana saya katakan politik
muafakat yang mana semua pihak perlu berkolaborasi dan berinteraksi
untuk agenda yang lebih besar untuk rakyat,” jelasnya lagi.
Yusmadi kemudian sempat menasihati Zulkifli agar memberikan pandangan
yang lebih bernas yang menyumbang kepada keteguhan kerjasama Pakatan
Rakyat dan bukannya sebaliknya.
“Selaku orang politik berpengalaman, saya rasa beliau sepatutnya lebih
arif keadaan sebenar di lapangan yang mana pada pandangan saya sekarang
ialah politik baru..bukan politik lama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan