Rabu, 26 Disember 2012

Pilihan raya bersih, tetapi belum lengkap, kata bekas pengerusi SPR

THE MALAYSIAN INSIDER

PETALING JAYAs — Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menegaskan bahawa proses pilihan raya di negara ini bersih akan tetapi masih lagi belum lengkap sepertimana sesetengah negara yang lebih maju demokrasinya.

“Pilihan raya kita bersih. Masalahnya elemen, komponen yang tidak ada dalam sistem itu, menyebabkan demokrasi dalam pilihan raya bukan satu demokrasi yang lengkap untuk masa sekarang.

“Dulu lengkap. Untuk waktu ini, tidak begitu lengkap sebab orang buat perbandingan dengan negara luar.

“Tapi apabila orang sudah sedar, (mereka mula bertanya) ini mengapa tak ada, ini kenapa tidak ada, itu yang menyebabkan kecoh. Tapi pilihan raya kita tetap bersih. Tidak perlu lihat ia secara serong. Mereka ini adalah kerajaan sah. Mereka ini berhak (untuk mengundi),” katanya dipetik dari Sinar Harian Online.

Beliau turut menegaskan bahawa secara keseluruhannya, perjalanan pilihan raya di Malaysia adalah bersih dan apa yang perlu dilakukan hanyalah sedikit penambahbaikan.

“Saya nak cabar siapa yang kata pilihan raya kita kotor. Bersih berdasarkan undang-undang yang ada dan ia sempurna, kalau kita tidak fikir tentang benda lain.

“Kalau kita fikir benda lain yang tidak ada dalam undang-undang itu, tapi jangan sebut kotor. Ia tidak kotor. Ia bersih. Ia tidak lengkap sahaja. Tapi yang anda sebut tadi, itu hanya penambahbaikan sahaja,” katanya.

Tambah beliau: “Macam contohnya, kita kata kaji undang-undang pendaftaran pemilih. Buat undang-undang lain.”

Katanya, beliau sedia berkongsi jika pihak yang berminat untuk menggubal undang-undang baru.

“Kalau orang lain datang jumpa saya, senang saya beritahu. Saya boleh bagi undang-undang itu, kalau dia mahu,” katanya lagi.

Bersih 2.0 baru-baru ini melancarkan “Jom Pantau” dan “Jom 100” bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk memantau perjalanan pilihan raya pada PRU 13 akan datang.

Pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreevanesan berkata kempen ini akan diperluaskan bulan hadapan bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

Aktivis itu menegaskan pilihan raya tidak akan bersih seperti yang dikehendaki oleh Bersih 2.0 dan caranya ialah meningkatkan jumlah pengundi dan mahu orang ramai memantau sebarang keraguan pada hari mengundi.

Ambiga berkata, rancangan terbaru Bersih 2.0 datang dari kekecewaan selama bertahun-tahun kerana usaha perubahan kerajaan dan SPR masih belum memuaskan hati.

Beliau mengatakan SPR “tidak ikhlas” kerana hanya baru-baru ini sahaja SPR menubuhkan unit khas untuk membersihkan daftar pengundi.

Ambiga turut tidak berpuas hati kerana SPR tidak dapat melunaskan lapan tuntutan yang diminta Bersih 2.0, seperti semua parti diberi akses media adil dan bebas, membenarkan pemantau antarabangsa pada hari mengundi, dan komitmen dalam memastikan politik kotor dihentikan sebelum atau semasa kempen.

Bersih 2.0 adalah gabungan 82 buah badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah menganjurkan tiga perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur bagi menuntut reformasi pilihan raya semenjak 2007.

Tiada ulasan: