Sabtu, 15 Disember 2012

PAS rakan penting dalam Pakatan Rakyat – Karpal Singh

 Roketkini.com

GEORGE TOWN-  Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa PAS adalah rakan penting dalam Pakatan Rakyat.

“Kita mungkin mempunyai beberapa perbezaan, tetapi ianya ‘solid’ sebagai sebuah parti yang mempunyai ideologi dan prinsip,” jelas beliau diikuti tepukan gemuruh perwakilan dan tetamu yang hadir.

Menegaskan kenyataannya, Karpal berkata “Bagi DAP, tidak ada rakan yang tetap atau musuh selamanya, tetapi yang kekal hanyalah prinsip.” (No permanent friends or enemies, only permanent principles)

Ujarnya, apa yang penting, Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh lalai dengan musuh yang sentiasa mahu memecahbelahkan persefahaman dilkalangan parti-parti dalam PR yang terbina selama ini.

“Sebelum ini tiada siapa yang menyangka DAP boleh bekerjasama dengan PAS, tetapi kini senario politik Malaysia telah berubah,

“Sekiranya kita tidak berubah mengikut masa, kita akan diubah oleh masa.” ujar beliau dengan penuh keyakinan.

Dengan merujuk Pulau Pinang sebagai contoh yang baik, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menaruh keyakinan tinggi bahawa PR mampu memberikan khidmat cemerlang sekiranya berjaya menakluk Putrajaya.

“Pulau Pinang telah terbukti  mencapai kejayaan cemerlang di bawah PR, apa yang telah dicapai di Pulau Pinang akan juga tercapai di Putrajaya. Ia adalah satu contoh baik yang boleh diikuti.”

Tidak dilupakan, Karpal menyeru agar golongan veteran yang banyak berkorban dan melalui saat getir selama ini agar dihargai dan tidak dilupakan.

“Tanpa golongan veteran, anda tidak akan berada disini.” ujar beliau.

Beliau juga sekali lagi mengulangi pendirian parti memberi sokongan penuh kepada  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Malaysia.

Biarpun ucapannya serius dan bersemangat, Karpal sempat berseloroh mengenai saman fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dimenanginya dengan ganti rugi sebanyak RM70,0000.

“Nampaknya angka 70,000 ini angka bertuah. Mahfuz dan Salahuddin Ayub juga menang RM70,000 saman terhadap Utusan Malaysia. Mahfuz kata boleh sembelih kambing. Saya kata jangan sembelih kambing, sembelih Barisan Nasional,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: