Selasa, 18 Disember 2012

Jangan 'makan angin', TMJ ingatkan pemain

SINAR HARIAN

Milik Mat Yo
Mat Yo
 
safee sali
Safee Sali
 
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Bekas pemain Sepanyol, Daniel Guiza González (kanan) diperkenalkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.
 
TUJUAN pasukan bola sepak Johor Darul Takzim mengambil pemain ternama adalah untuk meletakkan pasukan itu di barisan hadapan dalam arena bola sepak negara serta menjadi pasukan unggul dalam Liga M.

Sejajar dengan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan pemain bahawa penyertaan mereka dalam pasukan itu bukan untuk tujuan 'makan angin', tetapi sebalikya perlu berusaha untuk menjadikannya pasukan terbaik.

"Pasukan ini bukan tempat untuk menikmati percutian di mana pemain datang untuk mengambil gaji dan berehat, tapi mereka perlu bermain dengan sepenuh hati," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

PBNJ menjadi perhatian ramai sejak beberapa bulan lepas kerana dikatakan berbelanja besar untuk mengambil ramai bintang bola sepak asing dan tempatan untuk bermain dengan pasukan Johor Darul Takzim, yang dulunya dikenali sebagai Johor FC.

Antara pemain tempatan terkenal yang diambilnya ialah Safee Sali, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan dad Zaquan Adha Radzak, ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Azmi Muslim, manakala bintang luar negara pula ialah pemain tengah Itali Simone Del Nero dan bekas pemain antarabangsa Sepanyol Daniel Gonzales Guiza.

"Saya amat bersyukur kerana kami mempunyai para pemain yang cukup berbakat dalam pasukan ini dan saya, serta jurulatih Fandi Ahmad, sangat berpuas hati dengan pasukan ini dan akan memberi tumpuan untuk melatih mereka dari segi taktikal dan mental".

Amaran keras Fandi

Fandi, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, memberi amaran keras kepada para pemain bahawa status mereka sebagai bintang tidak menjadi tiket untuk mereka tersenarai sebagai kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.

"Setiap orang perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama. Saya amat menitikberatkan soal disiplin dan semangat berpasukan, jadi tidak akan ada pemilihan secara automatik untuk membarisi kesebelasan utama," katanya.

Safee, Norshahrul, Azmi, Safiq, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha yang turut hadir pada sidang akhbar itu berikrar akan memberi persembahan terbaik masing-masing untuk menjadikan Johor Darul Takzim sebagai pasukan yang tidak boleh dipandang ringan.

"Setelah dua tahun di Indonesia, saya harap dapat menggunakan pengalaman yang diraih di sana untuk dicurahkan dengan sebaik mungkin di sini. Saya tidak sabar untuk beraksi dengan Johor Darul Takzim, yang disifatkan sebuah "Pasukan Impian"," kata Safee.

Safiq masih rasa cabaran baru

Safiq pula berkata, dia mengambil keputusan bermain dengan Johor kerana ingin merasai cabaran baru bagi menambah baik permainannya dan berjanji akan memberi 100 peratus komitmen kepada pasukan itu.
Sementara itu, Norshahrul, yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Yo berkata, adalah satu persaingan sihat baginya, Safee dan Guiza untuk merebut Kasut Emas.

"Ia akan membolehkan Johor Darul Takzim muncul sebagai sebuah pasukan yang menjaring paling banyak gol dalam Liga Premier," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: