PANDAN: Dewan serbaguna yang akan dibina semula di Jalan Pandan Mewah, Kg Pandan akan dinamakan sebagai Dataran Komuniti Moktar Dahari sempena mengenag lagenda bola sepak Selangor dan Malaysia itu.
Perkara ini dicadangkan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad.
Menurutnya mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 7 November lalu meluluskan peruntukan di bawah Geran Selangorku untuk membina semula dewan yang sedia ada di situ.
“Di sebelah dewan tersebut terdapat sebuah padang yang digunakan untuk bermain bolasepak oleh penduduk tempatan.
“Adalah dicadangkan padang ini dinaiktaraf dan bersama-sama dengan dewan yang baru itu dinamakan Dataran Komuniti Mokhtar Dahari.
“Allahyarham Mokhtar Dahari pernah tinggal dan bermain bolasepak di Kg Pandan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Setakat ini tidak ada sebarang mercu tanda di kampung itu untuk memperingati jasa-jasa Allahyarham.
Walau bagaimanapun cadangan ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga Allahyarham.
Cadangan-cadangan rekabentuk dewan itu yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dipamerkan kepada penduduk Kg. Pandan.
MPAJ menyiapkan lukisan-lukisan dan dokumen tender untuk dewan tersebut dan bersedia meneruskan kerja-kerja selanjutnya.
Anggaran dewan yang baru ini adalah lebih kurang RM500,000 dan akan mengambil masa 8 bulan untuk menyiapkannya.
Adalah diharapkan majikan Allahyarham seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga akan dapat menyumbang kepada projek mewujudkan dataran ini memandangkan Allahyarham pernah mengharumkan nama PKNS ketika bermain untuk pasukan bolasepak mereka.
“Sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan tersebut, saya berpandangan telah tiba masanya dataran ini diwujudkan agar nama Allahyarham tidak dilupakan oleh generasi akan datang di samping menyediakan kemudahan awam yang secukupnya untuk rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan