KUALA LUMPUR — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membangkitkan isu undang-undang Islam di Malaysia, mengatakan masyarakat Cina mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sedar sokongan kepada “DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.”
“PAS menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yag akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.
“Jika mereka berkuasa, PAS akan memerintah,” kata Presiden MCA kepada The Malaysian Insider dalam temubual ekslusif minggu lalu.
Dr Chua (gambar) menegaskan ia adalah fakta dan menafikan ia hanya strategi untuk meraih semula sokongan komuniti Cina pada pilihan raya umum akan datang.
“Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS, yang akan berkuasa di peringkat pusat,” katanya.
Dr Chua mengingatkan PAS “hari kemenangan” akan berlalu dengan pantas dan mentertawakan sebarang kemungkinan PKR akan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli, menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti itu.
Bekas menteri kesihatan ini berkata PKR berkeyakinan dalam mengetuai barisan pembangkang ke Putrajaya namun ia telah menghadapi masalah dalaman iaitu “pembelot” dari pemimpin penting mereka.
“PKR mungkin satu-satunya parti di dunia yang begitu yakin dapat menawan Putrajaya, satu-satunya parti yang mendakwa akan menang tetapi mempunyai banyak masalah.
“Ia satu-satunya parti yang mempunyai paling ramai ahli meninggalkan parti, 50 pemimpin utama meninggalkan PKR termasuk 12 atau 13 wakil rakyat yang secara terbuka mengatakan mereka kecewa dengan PKR,” kata Dr Chua.
Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR paling ramai di Parlimen dengan 31 orang, berjaya menawan lima negeri dan memperoleh 83 kerusi Parlimen bersama Pakatan Rakyat.
Namun PKR berdepan dengan satu persatu “pembelot” dalam parti itu selepas pilihan raya umum 2008.
Kemudian PKR gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil sebelum enam ahli Parlimen mereka berindak keluar parti dan kini menyebabkan DAP mempunyai jumlah yang paling besar di Parlimen dengan 28 orang.
Untuk mengelakkan kejadian sama berulang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan meletakkan 40 peratus calon baru dengan membariskan profesional dan aktivis.
No comments:
Post a Comment