KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar kesal keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), menolak cadangan melantik Mimos Berhad, sebagai badan pengesahan daftar pemilih.
Menurut Izzah, cadangan melantik Syarikat Inovasi dan Teknologi Maklumat itu, sebelum ini dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penambahkan Pilihan Raya (PSC).
Bagaimanapun katanya, SPR menolak cadangan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Shafei Taib, di bangunan Yayasan Selangor, Kampung Baru di sini hari ini.
“Ini membimbangkan, maksudnya cadangan PSC ditolak setakat ini oleh SPR berkenaan lantikan Mimos sebagai badan pengesahan verifikasi.
“SPR terbaru memutuskan Mimos tidak digunapakai sebagai syarikat yang mengesahkan daftar pemilih. Keputusan itu dibuatnya pada Disember lalu,” kata Izzah.
Beliau yang terkejut kerana tidak dimaklumkan dengan keputusan itu berkata, ia jelas menunjukkan SPR masih terikat dengan arahan pemerintah.
“(Keputusan) ini perlu ada justifikasi, ini kerana jika cadangan PSC pun tidak boleh diterima, bagaimana yang lain. Sedangkan PSC itu hanya tiga perlapan daripada tuntutan Bersih.
“Ini akan memberikan kesan kepada 122 Parlimen seluruh negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Pada November lalu, PSC mengemukakan 10 cadangan yang bertujuan memastikan proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara bebas dan adil.
Sebanyak 10 cadangan yang dikemukakan berhubung penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13); pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.
Cadangan lain ialah pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.
Bagi melancarkan pelaksanaan cadangan itu, PSC mengesyorkan SPR melantik Mimos membuat verifikasi terhadap isu seperti dua pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang sudah meninggal dunia tetapi masih berada dalam daftar pemilih, dan pemilih bukan warga tempatan.
No comments:
Post a Comment