Tuesday, January 24, 2012

Intelektual dan politik dalam masyarakat

Mustafa K Anuar


Kritikan yang dibuat oleh Dr.Abdul Aziz Bari, iaitu ketika beliau masih menyandang jawatan profesor di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), terhadap campur tangan Sultan Selangor dalam kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama pada tempoh hari mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Sesungguhnya pakar perlembagaan ini tidak asing pada kontroversi selama ini sejak beliau meluahkan pandangannya tentang beberapa perkara atau isu yang dirasakan perlu komen ilmiahnya demi kebaikan dan kebajikan masyarakat pada amnya. Lagipun, ini adalah tanggungjawabnya sebagai seorang intelektual yang terpanggil untuk menghulur pandangan dan idea tentang sesuatu yang berlaku dalam masyarakat.

Ada kecaman yang dilontarkan terhadap Dr.Aziz Bari yang membayangkan ketidakfahaman pihak yang berkenaan tentang peranan yang seharusnya dimainkan oleh seorang akademik dan intelektual seperti Dr Aziz Bari. Pihak ini berhujah bahawa profesor ini harus meninggalkan akademia dan terjun masuk ke dalam gelanggang politik kepartian jika mahu berjinak-jinak dengan hal atau isu politik kerana, kata mereka, "politik" tidak ada tempat di universiti.

Kekeliruan di sini berkisar pada konsep intelektual. Seorang intelektual awam, sama ada berada dalam atau luar institusi pendidikan formal, ialah orang yang menggunakan idea dan hujahan kritis serta kepandaiannya untuk menyumbangkan buah fikiran bagi menangani masalah atau isu yang wujud dalam masyarakat pada sesuatu ketika. Seorang pensyarah yang juga bersifat intelektual bersedia memberikan responsnya terhadap perkara atau isu yang timbul dalam masyarakat yang memerlukan pandangannya yang berpaksikan kepakarannya dan juga ilmu (yang luar daripada kepakarannya) yang telah ditimba selama ini untuk menghasilkan pandangan yang holistik atau menyeluruh.

Sebagai seorang intelektual dan ahli akademik, Dr.Aziz Bari (gambar kiri) seharusnya mempunyai kebebasan untuk berfikir dan menyuarakan pandangannya walaupun pendapatnya mungkin tidak selari dengan perspektif pihak-pihak tertentu khususnya pemerintah - kerana pemerintah, seperti golongan manusia lain, bukan selalunya berada di sisi kebenaran dan keadilan. Kebebasan berfikir dan bersuara adalah faktor asas dan bernilai tinggi bagi akademia kerana di sinilah munculnya intelektual yang berkeupayaan untuk menyuarakan pandangan ilmiah lebih-lebih lagi pendapat yang segan atau takut disuarakan oleh kebanyakan ahli masyarakat.

Tapi, kita sedia maklum bahawa realiti dalam masyarakat Malaysia, dan ini termasuklah akademia tempatan, menampakkan ruang kebebasan bersuara ini agak sempit lebih-lebih lagi bagi ahli akademik yang berpegang kepada pandangan yang kontra dengan pemerintah yang lazimnya dilihat serong oleh pihak berkuasa dalam universiti dan juga pemerintah.

Malah, ahli akademik yang bersifat seperti Dr.Aziz Bari berkemungkinan besar dilabelkan sebagai pemikir partisan dan pro-pembangkang. Nampaknya pandangan yang dipegang oleh mendiang. Edward Said (seorang profesor dan juga intelektual awam di Amerika Syarikat) ada kebenarannya, iaitu seseorang intelektual itu lazimnya mengalami hidup yang "sepi" disebabkan pendapatnya kontroversial, berlainan dan juga berlawanan dengan pandangan sekelompok manusia lain. Sesungguhnya, seseorang intelektual itu berani menjolokkan kebenaran kepada pihak yang berkuasa, iaitu speaking truth to power.

Dan barangkali tekanan dan kekangan yang dihadapi oleh Dr.Aziz Bari menjadi semakin kuat hingga menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan di universitinya dan terus mengambil keputusan untuk mengambil bahagian aktif dalam politik kepartian dalam niat dan usaha gigihnya untuk membantu memperbaiki masyarakat. UIA, atau sekurang- kurangnya pelajarnya, kehilangan seorang akademik yang komited lagi pintar dalam bidang kepakarannya.

Tapi apa yang nampaknya satu kehilangan di pihak UIA menjadi satu "anugerah" kepada dunia politik kepartian kerana sudah tentunya Dr.Aziz Bari dapat memberi sumbangan yang amat bermakna dalam arena politik tanah air dan juga kepada masyarakat secara amnya, lebih-lebih lagi dalam hal yang berkaitan dengan perundangan dan perlembagaan Malaysia. Buah fikirannya dianggar dapat membantu membawa perubahan yang berkesan kepada pentadbiran dan hala tuju negara.

Apa yang diharapkan ialah kemunculan kelompok intelektual seperti Dr.Aziz Bari dapat menolong masyarakat keluar daripada belenggu yang boleh disifatkan sebagai "politik celah kelangkang" yang selama ini menghantui masyarakat kita, khususnya melalui kontroversi seks seperti kes liwat yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (gambar kiri). Lantas masyarakat mengharapkan wacana politik boleh bertukar isi dan berkisar kepada persoalan yang lebih serius dan penting, seperti isu ekonomi, pendidikan, hak asasi manusia, kemiskinan, fasisme agama dan etnik, dsb.

Ini juga bermakna kita mengharapkan perdebatan di Parlimen menjadi lebih canggih dan bertamaddun dan tidak lagi taksub kepada hal-hal sensasi dan jelek seperti "kebocoran" ala Ahli Parlimen Kinabatangan. Walaupun intelektual seperti Dr.Aziz Bari dianggarkan berhujah secara berpartisan, kita masih boleh membayangkan perbincangan yang bakal dilakukan itu lebih jauh tinggi mutunya jika dibandingkan dengan apa yang berlaku sekarang dan masa dulu.

Kemasukan golongan intelektual ke dalam kancah politik bukanlah satu perkara yang baru atau aneh. Syed Husin Ali, bekas profesor dari Universiti Malaya, misalnya, telah lama berkecimpung dalam politik tanah air. Di luar negara seperti Amerika Syarikat, seorang profesor, Zbigniew Brezinski, misalnya, telah diangkat sebagai Penasihat Keselamatan Negara, oleh Jimmy Carter setelah beliau dipilih sebagai presiden negara itu pada tahun 1976. Perlantikan Brezinski ini ada kaitan rapat dengan kepakaran dan keprihatinan yang ada pada beliau.

Walau bagaimanapun, para intelektual di luar gelanggang politik kepartian masih lagi mempunyai peranan penting yang boleh dimainkan dalam masyarakat. Menerusi, misalnya, penulisan ilmiah, tulisan popular, kempen petisyen dan ceramah umumnya, intelektual ini dapat merapatkan dirinya dengan ahli masyarakat dengan berkongsi buah fikiran serta melibatkan diri dalam perdebatan umum yang juga boleh meningkatkan kesedaran sosial ahli masyarakat biasa.

Di Malaysia masa kini, sumbangan buah fikiran intelektual amat diharapkan lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat di mana suara-suara sumbang yang lantang (yang membawa fikiran sempit lagi merbahaya seperti kelompok fasis agama dan etnik) cuba menenggelamkan pandangan yang lebih rasional dan moderat dalam kalangan rakyat yang sentiasa mengidamkan kesejahteraan, kemajuan dan keamanan. Ini bukanlah bermakna luahan pandangan seperti ini adalah monopoli golongan intelektual, tetapi kelompok ini boleh memainkan peranan yang penting untuk mempengaruhi wacana di peringkat nasional.

Begitu juga halnya di Amerika Syarikat. Intelektual seperti Prof. Noam Chomsky (pakar linguistik dan falsafah), mendiang Howard Zinn (profesor sejarah) serta mendiang Edward Said (profesor sastera), sebagai contoh, telah memberi sumbangan intelek yang berharga kepada masyarakat mereka yang berkaitan dengan bidang kepakaran serta bidang yang lain.

Ketiga-tiga profesor ini bukan saja memberi pandangan tentang perkara yang berkaitan dengan kepakaran masing-masing, tetapi juga berhujah tentang pergerakan anti-perang, konflik Palestin dan Israel, hak asasi manusia, ekonomi politik media, dan sebagainya. Malah Prof. Zinn pernah dipecatkan dari jawatan pensyarahnya di Spelman College di Atlanta pada 1963 setelah beliau memberi sokongan kepada anak muridnya yang membantah segregasi yang bersifat perkauman. Dengan kata lain, mereka ini sudah tentunya tidak mempunyai ciri-ciri "profesor kangkung"!

Sebaliknya, cuba bayangkan sekiranya kelompok intelektual ini berpeluk tubuh, atau berjaya "didiamkan" oleh pihak berkuasa, apabila berhadapan dengan masalah masyarakat: satu pembaziran intelek dan kemuflisan moral sudah tentunya boleh berlaku dalam kalangan masyarakat.

*Dr.Mustafa K Anuar ialah pemerhati politik tanah air.

No comments: