Sunday, January 8, 2012

AMK dakwa pengawal Wan Azizah disuntik morfin

MALAYSIA KINI

Satu laporan polis dibuat ekoran kes pengawal peribadi Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dimasukkan ke hospital selepas disyaki diserang dan didakwa dicederakan dengan objek tajam beracun.

Menurut Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang Syed Mikael Rizal Aidid, laporan melibatkan Fayyadh Afiq Albakqry itu dibuat sejurus selepas kejadian di Permatang Pauh malam tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Mikael mendakwa, serangan itu disahkan berpunca dari tusukan jarum mengandungi morfin berlebihan ke tapak tangan.

Beliau malah mendakwa insiden itu merupakan "cubaan membunuh" Wan Azizah.

"Serangan itu walaupun dapat dielak oleh Saudara Fayyad al-Bakri, pengawal keselamatan keluarga Anwar Ibrahim, ia tetap diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh!" dakwanya.

Menurut seorang pembantu Anwar, Fayyadh tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan membawa Wan Azizah berceramah dari kampung halaman Anwar di Cherok Tok Kun ke Parit Buntar.

Selepas dibawa ke hospitral di Seberang Jaya, dilaporkan di Twitter bahawa lebih daripada 100 penyokong Pakatan Rakyat berada di hospital untuk mendoakan supaya Fayyadh pulih.

Wan Azizah antara puluhan pemimpin PKR yang sedang menjelajah seluruh negara dalam siri ceramah umum menjelang keputusan perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar esok.

Fayyadh merupakan pengawal peribadi yang sama yang didakwa terkena tembakan kanister gas pemedih mata ketika melindungi Anwar semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

No comments: