Saturday, January 7, 2012

Akhirnya Gaji Minima!Tapi macam mana nak hidup dengan RM900?

Sivaranjani Manickam


Setelah lama menunggu akhirnya Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) mengumumkan penetapan RM900 sebagai gaji minimum di Malaysia (rujuk kenyataan di Berita Harian pada 4 Januari 2012).

JERIT secara prinsipnya menerima baik penetapan gaji minima di Malaysia selepas sekian lama isu ini diperjuangkan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan jumlah gaji yang ditetapkan adalah RM900 dan ia juga akan meliputi pekerja asing di pelbagai sektor termasuk sektor perladangan dan pembinaan.

Adakah RM900 mencukupi?

Namun, JERIT masih kecewa RM900 ditetapkan sebagai gaji minimum. RM900 adalah satu angka yang jauh ketinggalan zaman. Ini adalah kerana, pada 1 Mei 1996, JERIT telah menuntut agar RM750 dilaksanakan sebagai gaji minima untuk pekerja ladang. Pada tahun 2002, JERIT melancarkan kempen serta menuntut kerajaan menggubal Akta Gaji Minima RM900. Manakala, pada tahun 2008, JERIT menuntut pengimplementasian Akta Gaji Minima RM1500. Jumlah-jumlah ini ditetapkan berpandukan kepada kajian JERIT serta mengambil kira faktor kadar inflasi semasa dan kos hidup yang semakin meningkat.

Malah, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad (gambar kiri) juga bersetuju gaji minima RM1200 diberikan kepada isi rumah ketika Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada tahun 1998. Malah, pihak MTUC juga telah menggesa kerajaan melaksanakan gaji minima RM900 dan COLA RM300 untuk para pekerja.

Walaupun pelbagai kajian serta saranan diberikan kepada pihak Kerajaan oleh JERIT dan kesatuan sekerja, penetapan RM900 sebagai gaji minimum pastinya satu angka tidak memadai untuk masa kini. Lebih-lebih lagi, pengumunan kerajaan untuk meneruskan pengimplementasian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penarikan balik subsidi serta kenaikan harga telah menambahkan lagi tekanan hidup.

Adakah sebarang syarat akan dikenakan?


JERIT juga amat bimbang serta was-was terhadap perlaksanaan gaji minimum RM900; sama ada sebarang syarat akan dikenakan terhadap para pekerja untuk mendapat gaji bulan RM900. Ini adalah kerana, pada tahun 2001, apabila gaji minimum RM325 dilaksanakan untuk pekerja ladang, pelbagai syarat telah dikenakan di mana, para pekerja perlu hadir kerja setiap hari, tidak boleh ambil cuti dan sebagainya. Adakah jumlah ini juga akan berbeza mengikut sektor dan kawasan di mana gaji lebih dari RM900 akan ditetapkan?

Jadi, JERIT berharap gaji minimum RM900 tidak akan dimanipulasi seperti yang berlaku kepada pekerja ladang.

Jangan lengahkan perlaksanaan

Adalah dimaklumkan bahawa gaji minimum RM900 dijangka akan dilaksanakan enam bulan selepas persetujuan kabinet. Walaupun JERIT faham satu jangkamasa diperlukan untuk membuat persediaan, tetapi jangkamasa enam bulan adalah terlalu lama. JERIT bimbang pengumuman ini dibuat untuk memancing undi semasa pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. Selepas itu, pelaksanaan gaji minimum ini akan akan dilengahkan. Ini telah berlaku kepada pengawal keselamatan, di mana, gaji pengawal keselamatan yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2011 ditangguhkan dan selepas pelaksanaan, masih terdapat majikan yang enggan mempraktiskannya.

Kesimpulannya, walaupun penetapan gaji minimum RM900 satu langkah yang positif namun, JERIT berpendirian bahawa pihak kerajaan harus menggubal Akta Gaji Minima RM1500 di Malaysia bagi memastikan hak dan kebajikan para pekerja terjamin. Gaji yang baik akan menjamin kualiti yang baik kepada warga pekerja di Negara ini.

Hidup Pekerja dan Salam Perjuangan!

*Kenyataan media oleh Sivaranjani Manickam selaku Penyelaras Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK), JERIT.

No comments: