Komitmen pentadbiran Najib, kononnya mahu meminda Seksyen 15, AUKU dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa kini dilihat tidak lebih sekadar omong kosong.
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno menzahirkan ketakutannya dalam menghadapi gelombang kebangkitan mahasiswa dengan mengenakan berbagai bentuk tekanan.
“Perkembangan membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti) sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa.
“Tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan Umno semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan ini serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, komitmen pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, kononnya mahu meminda Seksyen 15, AUKU dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian kini dilihat tidak lebih sekadar omong kosong.
“Selain Adam Adli, tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus,” katanya.
Menurutnya, insiden remeh di depan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik Umno seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan.
Ujar Anwar, “tindakan menghukum dengan menggunakan peruntukan AUKU terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.
“Saya menggesa agar dihentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa kerana jelas ini merupakan kehendak politik pimpinan Umno yang terdesak.
“Saya juga mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan AUKU serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.
No comments:
Post a Comment