BERITA HARIAN ONLINE
Persoalan yang menyelubungi mereka kali ini ialah siapakah pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) akan mengambil alih sebagai pengerusi BN Pulau Pinang.
Soalan itu muncul berikutan pengumuman Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada Khamis lalu yang beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang penggalnya tamat pada 2013.
Selain memegang jawatan presiden GERAKAN dan pengerusi BN Pulau Pinang, Dr Koh juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Jawatan pengerusi BN Pulau Pinang, kepada sesetengah pihak, adalah jawatan mencabar dengan tanggungjawab besar untuk mengambil alih semula negeri itu daripada pentadbiran kerajaan negeri pakatan pembangkang pimpinan DAP.
Jawatan itu juga dilihat sebagai peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan untuk membuktikan keupayaan kepimpinan seseorang.
Orang dalaman parti berkata, persetujuan dicapai dalam GERAKAN mengenai siapa yang akan dicadangkan sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baru beberapa jam sebelum pengumuman Dr Koh untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, tiada nama didedahkan kerana Dr Koh berkata, perkara itu perlu dibincangkan lebih lanjut dan Perkara 23(2) perlembagaan BN menetapkan ia adalah kuasa mutlak pengerusi Dewan Tertinggi BN untuk melantik pengerusi BN negeri.
"Lebih baik ikut prosedur dan menghormati kuasa mutlak ini," kata Dr Koh kepada pemberita Khamis lalu.
Namun, timbul spekulasi mengenai siapa yang bakal dilantik ke jawatan itu, dengan teka-teki menjurus kepada dua individu - setiausaha agung GERAKAN, Teng Chang Yeow dan setiausaha politik Dr Koh, Ong Thean Lye.
Teng disebut-sebut sebagai tokoh yang paling sesuai untuk mengisi jawatan ketua menteri Pulau Pinang menjelang hari pengundian pilihan raya umum lalu pada 2008, tetapi prestasi teruk GERAKAN dalam pilihan raya itu, termasuk kekalahannya, membantutkan idea itu.
Tumpuan kali ini sekali lagi berpusat kepada Teng, dengan desas-desus bahawa beliau adalah pilihan paling sesuai bagi mengisi jawatan pengerusi BN Pulau Pinang berikutan sesi perbincangan panjang lebar di kalangan pemimpin parti pada Rabu lalu.
Orang dalaman parti berkata, Teng patut dicadangkan untuk memegang jawatan itu.
Teng, 47, anak kelahiran Batu Pahat berasal daripada keluarga pemimpin politik yang memegang jawatan dalam parti politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Abangnya, Datuk Teng Chang Khim ialah pemimpin DAP Selangor dan speaker Dewan Undangan Negeri dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR.
Bapanya yang lebih senang dengan sikap enggan menonjolkan diri, ialah penyokong kuat dan pemimpin peringkat akar umbi MCA di Batu Pahat, kampung halaman presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Bapa saudaranya, Datuk Teng Boon Soon ialah anggota Parlimen Tebrau dan orang kuat MCA yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Lebih penting lagi, Teng Chang Yeow paling diingati oleh pemimpin dan anggota parti sebagai ahli politik yang mengalahkan pengerusi DAP, Karpal Singh di kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Kota pada pilihan raya umum 1995 dengan majoriti lebih 2,500.
Penganalisis politik yang berpangkalan di Pulau Pinang, Datuk Dr Cheah See Kian, berkata sekiranya Chang Yeow dilantik sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baru, ia akan membawa semangat baru kepada keseluruhan jentera negeri kerana beliau terkenal sebagai seorang pejuang dan akan mampu memberi saingan kepada kerajaan negeri sedia ada.
"Bukan lagi rahsia bahawa adalah sukar bagi BN untuk mengambil alih semula Pulau Pinang pada ketika ini, tetapi dengan meletakkan Chang Yeow (menerajuinya), ia sekurang-kurangnya meningkatkan peluang BN dalam perjuangannya itu," katanya.
Chang Yeow mungkin bukan tokoh popular dalam GERAKAN tetapi keberaniannya dalam isu-isu tertentu menarik perhatian kalangan pemimpin sama ada di dalam dan di luar parti. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment